Tonggak tengah Pahang, Nor Azam Azih kini bersedia untuk kembali beraksi bersama skuad kebangsaan lapor Goal.com. Azam terlepas perlawanan ketiga yang menyaksikan Harimau Malaya tumpas 1-0 keatas Vietnam.
Pemain berusia 24 tahun itu mengalami kecederaan ekoran jadual padat bersama skuad Tok Gajah bagi saingan Piala Malaysia peringkat suku akhir. Namanya tersenarai dalam 26 orang pemain yang dipanggil oleh Tan Cheng Hoe bagi menghadapi tiga perlawanan pada bulan ini.
‘Saya sudah bersedia untuk tiga perlawanan yang dijadualkan termasuk perlawanan persahabatan (menentang Tajikistan). Saya sudah pulih daripada kecederaan dan kembali cergas untuk bermain. Agak merasai tekanan tetapi saya berharap dengan penambahan pemain baru (Baddrol Bakhtiar dan Afiq Fazail), dapat sama-sama membantu mengutip mata untuk negara’, katanya.
Kesemua pemain yang telah dipanggil memiliki kualiti dan kelebihan tersendiri. Pasti sukar buat ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe untuk memilih kesebelasan utama. Disamping itu, penyerang Perak, Shahrel Fikri juga dilihat sudah bersedia untuk diturunkan.
Shahrel ditimpa nasib yang sama seperti Azam apabila terlepas perlawanan menentang Vietnam. Kehadiran Baddrol Bakhtiar dan Afiq Fazail akan memberikan tonik buat jentera tengah bagi mencipta ruang buat pemain di bahagian serangan.
Prestasi semasa yang dipamerkan Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad berpotensi untuk menajamkan lagi bahagian serangan Harimau Malaya. Dua perkara yang paling mustahak buat skuad negara ialah untuk memanfaatkan segala peluang yang ada dan mengelakkan kesilapan kerana ianya mampu menyebabkan keciciran mata.
Malaysia akan bertemu Tajikistan bagi perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 pada Sabtu ini sebelum melayan kunjungan Thailand dan Indonesia untuk saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023. Kesemua perlawanan dijadualkan akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.