Malaysia Berita

Ahli Parlimen Jelutong persoal gol Safawi

Johor Darul Ta’zim (JDT) muncul juara Piala Malaysia 2019 setelah menumbangkan Kedah 3-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu lepas. Tiga gol JDT dijaringkan oleh Leandro, Safawi Rasid, dan Syafiq Ahmad.

Seperti yang sedia maklum, gol sepakan percuma Safawi Rasid pada malam tersebut dilihat agak kontroversi. Pengadil perlawanan, Nazmi Nasaruddin membuat keputusan akhir dengan mengesahkan gol tersebut sekaligus menjadikan kedudukan 2-0 pada ketika itu.

Hari ini, Ahli Parlimen Jelutong, Yang Berhormat S.N Rayer mempersoalkan kesahihan gol tersebut di Dewan Rakyat menurut laporan Astro Awani. Beliau juga mempersoalkan mengenai kebarangkalian penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) dan Teknologi Garisan Gol (GLT) dalam sukan bola sepak di Malaysia.

Beliau turut mengakui menyokong pasukan Kedah kerana lahir disana walaupun merupakan wakil rakyat di Pulau Pinang. Gol tersebut kelihatan seperti tidak melepasi garisan gol. 

Namun begitu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Steven Sim secara berhemah menerangkan bahawa gol tersebut telah pun disahkan oleh pengadil perlawanan. Tambahnya lagi, penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) dan Teknologi Garisan Gol (GLT) memakan kos yang tinggi serta perlu meneliti laporan teknikal oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persekutuan Bola Sepak  Antarabangsa (FIFA).

Untuk mengelakkan perkara sedemikian berulang, beliau berkata Kementerian juga mencadangkan agar mekanisme yang sesuai seperti  Video Bantuan Pengadil (VAR) dan Teknologi Garisan Gol (GLT) digunakan dalam Liga Malaysia.