Bekas penyerang kebangsaan, Zaquan Adha menyifatkan dirinya bukan sebagai hero atau penyelamat pasukan. Ini berikutan gol jaringannya ketika Kedah bangkit mengikat Pahang pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Darul Aman.
Dalam sidang media yang disiarkan melalui Facebook rasmi pasukan Kedah sejurus selepas perlawanan, Zaquan memuji pasukan yang berusaha dan bekerja keras sehingga minit terakhir permainan. Baginya, gol penyamaan di minit terakhir permainan itu merupakan rezeki buat dirinya.
Namun begitu, dia mengingatkan Kedah akan ketajaman barisan serangan skuad Tok Gajah. ‘Tugas berat menanti kami di Darul Makmur’, tambahnya lagi.
Dia turut berkata, ‘kita perlu percaya pada rezeki dan perlu lebih fokus untuk separuh akhir kedua kerana apa sahaja boleh berlaku dalam masa 90 minit.’
Ditanya mengenai isu posisi, Zaquan menegaskan dia tidak kisah jika diletakkan dimana-mana posisi sekalipun kerana tugasnya adalah untuk memberikan yang terbaik buat pasukan. Dia juga percaya bahawa pengendali pasukan Kedah, Aidil Sharin akan memperbaiki kelemahan di barisan pertahanan dan serangan bagi menghadapi ujian getir di Darul Makmur sabtu ini.