Kolum Eropah

Kubu Arsenal dapat tonik

Arsenal berjaya mengekalkan rekod tanpa bolos setelah mudah menewaskan Standard Liege 4-0.

Seperti sebelum ini, Unai Emery menurunkan skuad muda bagi perlawanan Liga Eropah. Kehadiran tiga pemain yang baru pulih daripada kecederaan iaitu Rob Holding, Hector Bellerin, dan Kieran Tierney jelas memantapkan lagi di barisan pertahanan. 

(Photo by Stuart MacFarlane/Arsenal FC via Getty Images)

Pemain muda Brazil, Gabriel Martinelli menjaringkan dua gol pantas dalam masa tiga minit untuk meletakkan Arsenal selesa di hadapan. Gol pertama muncul selepas gerakan kemas di sebelah kiri yang dikemudi seorang lagi pemain baru yang membuat penampilan pertama bersama The Gunners, Kieran Tierney. Manakala gol kedua pula menjelma apabila gerakan dan penyudah tajam Martinelli mudah menewaskan penjaga gawang Standard Liege, Milinkovic-Savic.

Dua lagi gol Arsenal disumbangkan oleh Joe Willock dan Dani Ceballos.

Dalam perlawanan ini, barisan pertahanan Arsenal dilihat lebih kebal daripada kebiasaan. Seperkara lagi yang menjadi perhatian ialah impak yang ditonjolkan pemain baru seperti Tierney dan Martinelli. Andai pemain-pemain ini mampu menembusi skuad utama, tidak mustahil untuk Arsenal menjadi pencabar liga pada musim ini.

Hector Bellerin yang mengetuai pasukan pada perlawanan tersebut juga menampilkan kepimpinan yang meyakinkan dalam mengemudi skuad utama. Sementara itu, Rob Holding yang bergandingan bersama Shkodran Mustafi juga menunjukkan persembahan positif sekaligus memberi amaran kepada dua lagi pertahanan utama, David Luiz dan Sokratis untuk bersaing merebut tempat dalam skuad utama.

(Photo by Stuart MacFarlane/Arsenal FC via Getty Images)

Secara keseluruhan, keputusan ini tidak lah menjadi penanda ukur bahawa Arsenal telah mencapai di tahap yang terbaik, tetapi sedikit sebanyak menampakkan perubahan sedikit demi sedikit seperti yang diharapkan para penyokong The Gunners.