Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam telah dilantik sebagai Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi penggal 2019-2023.
Beliau juga hadir ke mesyuarat pertama jawatankuasa berkenaan yang diadakan di AFC House, Bukit Jalil, semalam. Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Exco AFC yang juga Naib Presiden Persekutuan Bolasepak Vietnam (VFF), Dr Tran Quoc Tuan selaku Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan AFC dan turut disertai seorang lagi Exco AFC, Abed-Alkhaliq Masoud Ahmed yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Iraq (IFA) selaku timbalan pengerusinya serta Setiausaha Agung AFC, Dato’ Windsor John.
Seramai 16 orang ahli telah dilantik sebagai Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi penggal 2019-2023 termasuk Stuart Ramalingam.
Antara ahli lain dalam jawatankuasa itu terdiri daripada Presiden Persatuan Bola Sepak Republik Korea (KFA), Chung Mong Gyu; Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA), Kiyotaka Suhara; Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF), Ibrahim Al Kassim; Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Jordan (JFA), Sizar Soubar; Pengerusi Liga Pro UAE, Abdullah Naser Al Junaibi dan Ketua Pegawai Eksekutif Liga India (I-League), Sunando Dhar.
Mesyuarat yang berlangsung telah membincangkan hal-hal berkaitan pertandingan kelolaan AFC, antaranya Pusingan Akhir Kelayakan Piala Dunia 2022, Piala Solidariti AFC 2020, Pusingan Akhir Kejuaraan B-16 & B-19 AFC 2020 dan Pusingan Kelayakan Kejuaraan B-17 & B-20 AFC 2023.