Perlawanan pembukaan Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menyaksikan Malaysia bakal bertemu Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno.
Kedua-dua jiran tetangga bakal merekodkan pertemuan ke 96 sejak kali pertama bertemu pada 1957 dan ia pastinya bakal menjadi pertembungan sengit selepas beberapa sejarah tercatat yang menghangatkan lagi perlawanan ini.
Rekod kemenangan kedua-dua pasukan dilihat seimbang dengan Indonesia telah mencatat 39 kemenangan manakala skuad negara dengan 35 kemenangan.
Walau bagaimanapun, Malaysia mempunyai rekod buruk di Stadium Gelora Bung Karno apabila hanya mencatat empat kemenangan dalam 18 pertembungan manakala pasukan tuan rumah hadir dengan 12 kemenangan.
Berikut adalah lima fakta menarik menjelang pertembungan kedua-dua pasukan.
1. Sembilan tahun.
Malaysia dan Indonesia bakal merekodkan pertembungan pertama di Gelora Bung Karno selepas sembilan tahun. Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah pada aksi kedua final Piala AFF 2010 yang menyaksikan Safee Sali menjaringkan gol cantik hasil umpanan Ashari Samsudin.
Biarpun Indonesia berjaya memenangi perlawanan tersebut, namun bekalan selesa yang dibawa skuad negara pada aksi final pertama di Stadium Bukit Jalil telah berjaya meragut impian Indonesia untuk memenangi kejohanan tersebut.
2. Tan Cheng Hoe
Sebelum dilantik menjadi pengendali skuad Harimau Malaya, bekas jurulatih Kedah ini telah berkhidmat sebagai penolong jurulatih skuad negara pada aksi Piala AFF 2010. Berada di bawah kendalian Datuk K Rajagopal, Cheng Hoe adalah antara individu yang berjaya membawa Malaysia merangkul Piala AFF 2010.
Beliau juga semestinya sudah biasa dengan situasi di Gelora Bung Karno yang ‘gila’ dengan sorakan dan suasana gamat stadium keramat tersebut.
3. Empat pemain Indonesia.
Indonesia mempunyai empat pemain yang memahami selok belok perjalanan bola sepak Malaysia. Mereka adalah pemain-pemain yang pernah dan sedang mewakili pasukan-pasukan di Liga Malaysia.
Antaranya adalah Andik Vermansah (bekas pemain Selangor FA dan Kedah FA), Ferdinand Sinaga (bekas pemain Kelantan FA), Evan Dimas Darmono (bekas pemain Selangor FA), dan Saddil Ramdani yang kini menyarung jersi Pahang FA.
4. Pemain naturalisasi
Kedua-dua pasukan bakal diwakili oleh pemain naturalisasi menjelang perlawanan malam ini.
Bagi Indonesia mereka akan diwakili oleh Victor Igbonefo, Stefano Lilipaly, Alberto Goncalves, dan Osas Saha. Bagi skuad negara pula mereka akan diwakili oleh Mohamadou Sumareh yang telah membuat penampilan pada kejohanan Piala AFF tahun lalu.