Paul Pogba menjadi mangsa perkauman terbaharu apabila beliau dikritik dengan teruk selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika Manchester United turun menentang Wolves pada aksi kedua Liga Perdana Inggeris.
Kegagalan Pogba menyempurnakan penalti minggu lalu telah dikecam teruk oleh para pengguna media sosial sehingga Manchester United terpaksa mengeluarkan kenyataan rasmi meminta perkara itu dihentikan.
Tidak cukup dengan itu, Harry Maguire dan Rashford tampil mempertahankan rakan sepasukan mereka dan meminta Twitter untuk mengawal barah yang semakin kuat menular.
Terdahulu, Tammy Abraham menjadi mangsa ejekan peminat dengan kata-kata kesat yang berbaur perkauman selepas kegagalan beliau menyempurnakan penalti telah menghadiahkan kemenangan Piala Super kepada Liverpool.
Kedua-dua kelab dilaporkan akan tampil dengan penyelesaian selepas Twitter telah bersetuju untuk bekerjasama dengan organisasi Kick It Out bagi membanteras gejala perkauman.
Laporan Kick It Out
Kick It Out dalam satu laporan yang dikeluarkan pada May lalu telah menunjukkan peningkatan sebanyak 50% peratus kes-kes yang melibatkan perkauman.
Laporan ini melibatkan pasukan utama dan juga akar umbi.
Kick It Out telah mencatatkan 442 kes musim lalu dengan sebahagiannya adalah berkisar tentang isu perkauman yang membentuk 65 peratus daripada keseluruhan kes yang dilaporkan.
Lebih mengejutkan lagi, ini merupakan tahun ketujuh kes diskriminasi perkauman direkodkan dan angkanya semakin hari semakin meningkat.
Jalan penyelesaian?
Sukar untuk mencari jalan penyelesaian bagi isu-isu membabitkan perkauman apabila suspek yang melemparkan kata-kata kesat berbaur perkauman itu hadir dalam satu kelompok yang besar. Ia akan menjadi sangat sukar untuk menunding jari kepada salah seorang daripada mereka yang memulakan.
Bagi kes-kes yang melibatkan sosial media, pengguna perlu memahami nikmat keserataan tidak kira di mana juga kita berada. Kewujudan perbezaan setiap warna kulit, bangsa dan juga agama bukanlah tiket kepada semua pengguna untuk menyalakan api perkauman.
Biarpun ketiga-tiga sosial media utama – Twitter, Instagram dan Facebook – telah mengeluarkan garis panduan bagi mengelak daripada berlakunya perkara sedemikian, tetapi ianya tetap juga berlaku.
Dr Martin Luther King, tokoh yang memperjuangkan orang kulit hitam percaya bahawa hanya dengan kasih sayang mampu untuk menewaskan api perkauman.
Bagi beliau, kebencian tidak boleh ditanamkan dengan kebencian kerana ianya akan membarakan lagi perkauman tetapi ianya perlu disiram dengan air kasih sayang.
Jalan penyelesaian ini mungkin agak sukar untuk dilihat tetapi jika kita merasa kasih sayang sesama manusia, percayalah, kita tidak akan memandang seseorang itu berdasarkan warna kulit, bangsa atau agama tetapi kita melihat seseorang itu berdasarkan kasih sayang kita sesama manusia.