Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menegaskan bahawa kepada calon yang mahu bertanding di kerusi Presiden KAFA, Sabtu ini perlulah seseorang yang mempunyai kredibiliti membawa pulang kegemilangan bola sepak Kelantan.
Setakat ini, termasuk Annuar Musa, empat calon bakal bertanding bagi merebut tempat tertinggi dalam pengurusan badan induk bola sepak terbabit.
Antara tiga nama lain adalah Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dan ahli perniagaan Datuk Seri Amril Aiman Abdul Aziz, lapor BH Sukan.
Beliau juga menyatakan belum bersedia untuk menerima atau menolak pencalonan jawatan Presiden KAFA kerana sibuk menguruskan hal politik.
Tetapi bagi beliau, jika ada calon yang layak memegang jawatan terbabit dan mampu mengembalikan kegemilangan bola sepak Kelantan, orang itu seharusnya di beri peluang.
“Saya pun tak fikir lagi (untuk terima atau tolak pencalonan). Saya tak tengok lagi siapa calonnya, adakah mereka juga serius atau tidak. Saya banyak hal di Parlimen nak difikirkan.
“Ketika ini, semua persatuan bola sepak negeri mempunyai masalah yang sama. Maka, sesiapa yang jadi presiden kena tengok, cermin diri untuk memastikan mereka ada keupayaan untuk melaksanakan tugas.
“Tak ada maknanya jika berebut-rebut mahukan jawatan Presiden, tapi tak berkemampuan untuk merealisasikan matlamat,” katanya kepada BH Sukan