Felda United tidak akan mengaku kalah menjelang perlawanan dengan Kedah pada aksi separuh akhir kedua Piala FA, Ahad ini di Stadium Tun Abdul Razak.
Kekalahan tipis di gelanggang lawan pada 22 Jun lalu tidak akan mematahkan semangat juang The Fighters dalam memburu kejayaan pada musim ini biarpun tidak beraksi baik di Liga Super.
Felda United dilihat mahu mengulangi kejayaan ke pentas Final 2014 dan bagi pengendali mereka, Mohd Nidzam Jamil mahu anak buahnya meneruskan komitmen yang tingi bagi melayakkan diri mereka ke pentas akhir.
Beliau juga mengakui bahawa kedua-dua pasukan dalam keadaan terdesak untuk melakar kejayaan pada musim ini.
Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan kepada anak buahnya agar tidak memberi ruang kepada pasukan Kedah mencari gol tambahan.
“Apabila berada di separuh akhir, kami tidak boleh memberi ruang kepada lawan kerana kami sudah berjaya mengharunginya di pusingan pertama lagi,” katanya.
Sudah pastinya Felda bakal menurunkan barisan pemain terbaik menjelang separuh akhir bertemu Kedah malam esok, tetapi itu tidak akan mematahkan semangat Kedah bagi mengharungi cabaran di halaman lawan.
Bagi ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak percaya dengan kemampuan anak buahnya dalam menangani asakan pemain lawan yang terdesak memburu jaringan.
Walau bagaimanapun, pengendali kelahiran Singapura itu mengingatkan para pemain agar tidak lalai dan leka serta memberi ruang kepada pasukan tuan rumah menjaringkan gol.
Setakat ini, Kedah telah berjaya memenangi kedua-dua perlawanan ketika bertemu Felda United pada aksi Liga Super dan Piala FA.
“Mana-mana pasukan mahukan kemenangan, tetapi mainlah penuh semangat berpasukan, harmoni dan memahami tugas antara satu sama lain untuk menang.
“Pemain jangan banyak melakukan kesilapan, jangan terlalu yakin dan perlu cepat memperbaiki kelemahan sebelum perlawanan penting itu,” katanya.