Kolum

Lima bintang muda bakal menyerlah pada Kejohanan Eropah B-21 di Itali

Menjelang musim panas ini, beberapa bakal bintang Eropah akan membuat perjalanan ke Italy menjelang Kejohanan Eropah B-21 tahun dan semestinya ini bakal menjadi medan buat kita untuk melihat bakal bintang bola sepak.

Beberapa tahun lalu, kita telah melihat beberapa bintang seperti Thiago, Petr Cech atau Royston Drenthe menggunakan kempen Eropah ini untuk membuktikan kemampuan mereka dan perkara yang sama juga bakal terjadi di Itali nanti.

Berikut adalah lima pemain yang anda perlu beri perhatian.

Sandro Tonali (Itali)

(Photo by Claudio Villa/Getty Images)

Anda mungkin tidak pernah mendengar nama Sandro Tonali, tetapi jika anda adalah peminat Serie A dan mengikuti perkembangan liga Itali, anda mungkin pernah mendengar pemain ini. Beliau adalah pemain Brescia, kelab liga divisyen kedua liga Itali.

Kemampuan beliau dalam mengawal bahagian tengah telah menjadikan beliau antara pemain yang mempunyai persamaan dengan lagenda Itali, Andrea Pirlo. Beliau telah dikaitkan dengan perpindahan ke kelab gergasi Eropah.

Kelebihan pemain berusia 19 tahun ini untuk membaca permainan dengan baik samada bertahan atau menyerang menjadikan beliau bintang muda harapan Itali dan bakal menjadi pemain penting buat Itali.

Tonali sudah mempunyai dua penampilan bersama skuad senior Itali dan diharapkan bakal meletus dalam masa terdekat.

Houssem Aouar (Perancis)

(Photo by Tim Clayton/Corbis via Getty Images)

Lyon tidak asing lagi dalam mengeluarkan produk anak muda yang baik dan Aouar tidak lari daripada itu apabila menjadi watak penting buat kelab dari Perancis tersebut.

Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh media Perancis, beliau dijangka menyinar pada Kejohanan Eropah di Itali nanti dan bakal diangkat menjadi bintang besar buat Perancis pada masa akan datang.

Pemain tengah Lyon ini juga telah dikaitkan dengan perpindahan ke Chelsea, Liverpool dan Barcelona.

Phil Foden (England)

(Photo by Victoria Haydn/Man City via Getty Images)

England mempunyai ramai pemain muda yang meningkat naik dan ada juga dikalangan mereka telah diangkat ke skuad senior England.

Bagi Phil Foden, kejayaan beliau bersama Manchester City telah membuktikan bahawa beliau layak untuk berada di peringkat tertinggi.

Tetapi khidmat pemain berusia 19 tahun ini diperlukan England pada Kejohanan Eropah di Itali nanti bagi menutup luka tahun 2017 di mana England terkeluar daripada kejohanan ini di peringkat separuh akhir.

Phil Foden juga telah dikhabarkan mempunyai persamaan dengan Iniesta dan telah membantu City dalam memenangi Liga Perdana Inggeris apabila menjaringkan gol penting ketika menentang Tottenham dalam persaingan liga.

Alexander Nubel (Jerman)

(Photo by Lukas Schulze/Bundesliga/DFL via Getty Images )

Jerman juga tidak pernah lekang dengan bakat muda dan antaranya adalah Alexander Nubel, penjaga gol FC Schalke 04 yang berusia 22 tahun.

Beliau telah menjadi penjaga gol utama untuk kelab dari Bundesliga terbabit dan media Jerman turut menyamakan beliau bersama dengan penjaga gol utama skuad senior Jerman, Manuel Neuer. Kemampuan beliau untuk tenang dan mengawal bola dengan baik menggunakan kaki adalah antara persamaan yang dikaitkan dengan Neuer.

Sesiapa yang pernah melihat pemain muda ini beraksi, pasti akan tahu kemampuan beliau dan hanya menunggu masa untuk beliau disenaraikan dalam skuad senior Jerman.

Luka Jovic (Serbia)

(Photo by TF-Images/Getty Images)

Menjelang musim panas ini, Luka Jovic telah mengambil pentas utama apabila diumumkan bakal menyertai Real Madrid pada musim hadapan dan anak muda ini bakal terus mengambil pentas utama apabila beliau bakal membuat penampilan untuk Serbia dalam Kejohanan Eropah di Itali.

Luka telah menunjukkan bakat beliau ketika beraksi di Bundesliga musim lalu apabila menjaringkan 27 gol dalam satu musim.

Beliau adalah antara calon kasut emas pada Kejohanan Eropah kali ini dan bakal meledak dengan kemampuan beliau di hadapan gawang gol.