Luar Negara Berita

CIES lapor nilai Neymar susut hampir €100 juta, bakal hilang penaja

Cerita tentang penyerang Brazil, Neymar lebih banyak berada di dada akhbar kerana kecederaan dan beberapa cerita di luar lapangan berbanding persembahan beliau di atas padang sejak akhir-akhir ini.

Pemain Brazil ini telah dikaitkan dengan perbalahan dengan rakan sepasukan, masalah kecergasan yang berterusan dan terbaru beliau menghadapi tuduhan rogol.

Sebelum ini, Neymar terpaksa diketepikan daripada skuad Brazil ke kejohanan Copa America apabila mengalami kecederaan.

Ketiadaan beliau pada aksi Copa America mungkin akan memberi kesan kepada pencalonan untuk Ballon d’Or tahun ini.

Masalah ini telah membawa kepada isu yang lebih besar apabila terdapat beberapa penaja dikatakan mempertimbangkan kedudukan mereka.

(Photo by Buda Mendes/Getty Images)

Dalam satu laporan yang dikeluarkan Marca, salah satu syarikat perbankkan terbesar dunia, Mastercard telah mengeluarkan Neymar dari kempen pengiklanan mereka sementara Nike dan Red Bull dijangka melakukan perkara yang sama.

Di peringkat kelab pula, Paris Saint-Germain dikatakan bimbang dengan nilai Neymar sebagai pemain jatuh sejak dibeli dari Barcelona pada 2017 dengan nilai perpindahan 222 juta euro.

Satu laporan yang dikeluarkan oleh L’Equipe menyebut bahawa pemain kebangsaaan Brazil ini hanya bermain 51.8 peratus sejak beliau menyertai PSG, di mana peratusan ini lebih rendah daripada Lionel Messi dengan 87 peratus dan Cristiano Ronaldo dengan 77 peratus.

Manakala salah satu laporan yang dikeluarkan oleh CIES Football Observatory, satu badan bebas bola sepak yang mempunyai kepakaran dalam menilai pemain di jendela perpindahan menyatakan bahawa nilai Neymar susut dari 213 juta euro pada awal tahun ini kepada 120 hingga 150 juta euro pada bulan Jun.

Walau bagaimanapun, laman sesawang Transfermarkt masih mengekalkan nilai Neymar pada harga 180 juta euro pada jendela perpindahan musim panas ini.