Luar Negara Berita

Neymar terpalit dengan tuduhan rogol

Bintang Paris Saint-Germain, Neymar Jr telah dituduh merogol seorang wanita dalam kejadian yang dikatakan berlaku di ibu kota Perancis.

Peristiwa ini dikatakan telah berlaku pada 15 Mei di sebuah hotel di Paris.

Wanita yang tampil dengan tuntutan telah mengenali bekas pemain Barcelona menerusi media sosial Instagram, kata laporan yang dikeluarkan oleh media Brazil, UOL.

Wanita itu juga turut mendakwa bahawa Neymar tiba dalam keadaan mabuk dan bintang Brazil itu bersifat agresif sewaktu pertemuan di sebuah hotal di Paris.

Dikhabarkan, pertemuan itu berlangsung di Hotel Paris Arc Du Triomphe, lapor media dari Sepanyol, Marca.

Dua hari selepas kejadian itu, wanita itu kembali ke Brazil dan mengambil sikap berdiam diri sehinggalah semalam kerana takut akan keselamatan sendiri.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan Neymar di laman webnya berkata, pemain berusia 27 tahun itu menafikan sepenuhnya tuduhan tersebut.

“Walaupun dia terkejut dengan berita itu, fakta itu sudah diketahui pemain dan stafnya, memandangkan beberapa hari lalu dia menjadi mangsa percubaan untuk pemerasan wang, di mana dipraktikkan oleh seorang peguam dari Sao Paulo mewakili kepentingan mangsa yang dikatakan itu,” Kata kenyataan terbabit.

“Peguam pemain telah diberitahu segera dan sejak itu [kami] mengambil semua langkah yang sesuai. Kami benar-benar menolak tuduhan yang tidak adil dan semua pendedahan yang sangat negatif.

“Semua bukti cubaan pemerasan dan penafian rogol akan dikemukakan kepada pihak berkuasa polis tepat pada masanya.”