Malaysia Berita

Akhyar mahu fokus aksi antarabangsa

Malaysia bakal bertemu Timor Leste pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 7 dan 11 Jun nanti iaitu dua hari selepas hari raya pertama.

Sebelum itu, pasukan negara bakal bertemu Nepal pada aksi persahabatan di gelanggang sama pada 2 Jun nanti.

Bagi pemain sayap skuad kebangsaan, Akhyar Rashid akui berat hati apabila tidak dapat meluangkan masa menyambut Aidilfitri lebih lama bersama keluarga tahun ini.

Tetapi bagi pemain kelahiran Kedah itu, beliau mahu fokus dalam menggalas tanggungjawab besar buat Harimau Malaya dan bersedia menyumbang bakti kepada negara.

“Kalau ikutkan memang berat hati apabila terpaksa mengharungi perlawanan ketika Aidilfitri dan kalau boleh saya harap dapat cuti, tapi ini tugas demi negara.

“Kemungkinan keluarga saya akan datang ke sini (Kuala Lumpur) untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama selain memberi sokongan pada perlawanan nanti,” katanya kepada BH Sukan.

Akhyar juga menyatakan bahawa beliau bersedia untuk mengisi kekosongan di bahagian penyerang.

“Setakat ini saya bermain di bahagian tengah dan sudah semestinya tugas kami untuk membantu rakan sepasukan. Apapun segalanya terpulang kepada percaturan jurulatih.

“Jika jurulatih melihat saya lebih diperlukan di posisi lain, ia tidak menjadi masalah dan saya tetap akan cuba memberikan persembahan terbaik,” katanya BH Sukan.