Malaysia Berita

Jasazrin Jamaluddin percaya Felda mampu bangkit

Pemain tengah Felda United FC, Jasazrin Jamaluddin percaya bahawa pasukannya mampu untuk keluar daripada zon penyingkiran, sambil menyatakan bahawa mereka tidak memerlukan ehsan daripada pasukan lain.

Beliau turut percaya jurulatih pasukan, Mohd Nidzam Jamil mempunyai startegi sendiri bagi mengharungi baki perlawanan Liga Super sebaik sahaja saingan liga bersambung pada 16 Jun nanti.

“Kita tidak perlukan bantuan daripada pasukan lain atau mengharapkan mereka tewas dalam setiap perlawanan selepas ini… saya percaya pasukan FELDA United masih boleh mencipta kemenangan.

“Lagipun, kebanyakan pemain yang cedera sebelum ini sudah kembali menjalani latihan dan saya rasa jurulatih mempunyai perancangan tersendiri untuk berdepan baki lapan lagi perlawanan selepas ini,” katanya.

Beliau juga mengingatkan para pemain agar terus fokus dan tidak tercicir mata dalam baki perlawanan liga.

“Kalau kita tengok kedudukan FELDA United ketika ini, nampak agak sukar dan ditambah pula pasukan Kuala Lumpur memiliki 14 mata di tangga ke-10 dan PKNP FC pula dengan 12 mata di tangga ke-11.

“Dengan hanya sembilan mata dikutip, memang kita tidak boleh tercicir lagi mata dalam baki perlawanan,” katanya.