Malaysia Berita

Hilangnya permata yang membawa kejayaan kepada bola sepak tempatan

Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al Muadzam Shah telah meninggalkan kita dan disahkan mangkat di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur pada jam 8.50 pagi ini.

Bagi arena bola sepak tempatan, Almarhum bukanlah asing dan antara watak penting dalam pembangunan bola sepak tempatan dan juga antarabangsaa.

Baginda pernah menerajui tampuk kepimpinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan antara bekas Presiden FAM yang paling lama berkhidmat setelah menggantikan Allahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah pada 1984.

Dibawah kepimpinan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah, bola sepak tempatan telah melalui satu peningkat yang pesat dan terarah kepada memajukan arena bola sepak Malaysia.

Baginda adalah watak penting yang bertanggungjawab memperkenalkan liga semi-pro pada 1989 sebelum menjadi profesional pada 1996 dan seterusnya ditransformasikan kepada Liga Super pada 2004.

Selain daripada itu, Baginda juga pernah menerajui Konfedarasi Bolasepak Asia (AFC) dari 1994 hingga 2002 dan antara usaha Baginda adalah memohon penambahan kuota untuk benua Asia dalam saingan Piala Dunia FIFA pada 2002.

Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah juga menjadi Presiden Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) dari 2011 hingga 2019, dengan kejayaan menjadikan Piala Suzuki AFF sebagai aset terbesar persekutuan itu.

Menerusi laman rasmi Facebook FAM, badan induk bola sepak telah mengeluarkan kenyataan, “Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan seluruh warga bola sepak tempatan serta antarabangsa berkabung susulan pemergian Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah yang meninggalkan impak cukup besar sepanjang pembabitan Baginda dalam sukan Nombor 1 ini, bermula sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP).

“Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah adalah Presiden FAM yang paling lama berkhidmat, menggantikan Allahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah pada 1984 sehingga memberi laluan kepada anakanda Baginda, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah, pada 2014.

“Di bawah teraju Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, pertandingan bola sepak tempatan melalui satu evolusi pesat, bermula dengan liga semi-pro yang diperkenalkan pada 1989 sebelum menjadi profesional pada 1996 dan ditransformasikan kepada Liga Super pada 2004.

“Dalam tempoh tiga dekad itu juga, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menjadi saksi kepada beberapa kejayaan skuad negara, termasuk pingat emas Sukan SEA 1989, Pestabola Merdeka 1993, emas Sukan SEA 2009 dan 2011, serta kemenangan Piala Suzuki AFF pada 2010.

“Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah juga memastikan Malaysia disegani di mata dunia dengan mendapat penghormatan menjadi tuan rumah Piala Dunia Belia FIFA pada 1997,” kata kenyataan tersebut.

Almarhum juga turut terlibat dalam pembangunan bola sepak Pahang apabila turut memegang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) sebelum Almarhum memberi lalukan kepada anakanda Baginda, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah mengambil alih jawatan Presiden FAM.