Berita AFC Champions League

Biarpun tewas, ia adalah pengalaman yang membanggakan buat JDT dan seluruh rakyat Malaysia

Johor Darul Ta’zim terpaksa akur dengan kehebatan Gyeongnam FC, kelab daripada Korea Selatan apabila tewas 2-0 di tangan mereka pada perlawanan akhir peringkat Kumpulan E pada saingan Liga Juara-Juara Asia di Changwon Football Center, Korea Selatan.

Perlawanan yang dikendalikan oleh Alireza Faghani berlaku dengan seimbang biarpun tuan rumah banyak mengasak ke kubu lawan dengan beberapa cubaan yang hampir pasti mampu dibolosi tuan rumah, terima kasih kepada Farizal Marlias apabila bertindak cemerlang menafikan beberapa cubaan lawan.

Kebuntuan tuan rumah dalam mencari gol awal akhir membuahkan hasil apabila kedua-dua gol mereka hadir pada separuh masa kedua menerusi Luc Castaignos dan Takahiro Kunimoto masing-masing pada minit ke 65 perlawanan dan diakhir minit ke 90.

Kekalahan ini menidakkan JDT merekodkan kemenangan kedua setelah berjaya memenangi perlawanan minggu lalu dengan juara bertahan, Kashima Antlers daripada Jepun apabila gol tunggal Syafiq Ahmad memastikan mata pertama buat pasukan daripada selatan tanah air.

Walau bagaimanapun, kemenangan Gyeongnam ke atas JDT tidak memakna apa-apa apabila Kashima Antlers berjaya bangkit mencatat kemenangan ke atas Shandong Luneng pada perlawanan petang tadi.

Biarpun gagal layak ke pusingan seterusnya, JDT seharusnya berbangga dengan pencapaian mereka apabila menjadi kelab pertama daripada Malaysia bersaing dalam kancah Liga Juara-Juara Asia, kelab pertama daripada Malaysia yang berjaya mencatat kemenangan dan juga kelab pertama daripada Malaysia yang berjaya mencatat tiga mata penuh.

Kancah Liga Juara-Juara Asia mungkin berbeza dengan saingan lain yang pernah disertai oleh JDT, tetapi ia adalah satu pengalaman yang berharga buat para pemain dan ia turut membantu mereka menjadi pemain yang lebih matang serta mempunyai tekad untuk bersaing lebih jauh.

Sudah pasti, watak penting dalam pembanggunan bola sepak Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan berbangga dengan pencapaian kelab JDT sejak membuat kebangkitan dalam arena bola sepak tempatan beberapa tahun yang lalu.