Kuala Lumpur terus berada di tangga tercorot Liga Super selepas hanya mencipta tiga kemenangan, dua keputusan seri dan lapan rekod kekalahan. Ia membuatkan kita tertanya-tanya, apakah yang menjadi punca kepada kemerosotan persembahan daripada skuad kota raya.
Skuad ibu kota sebelum ini dibimbing oleh Yusri Che Lah telah bertindak melepaskan beliau selepas beberapa siri perlawanan yang kurang memberangsangkan, tetapi jalan penyelesaian masih tidak jelas.
Biarpun berjaya mencipta kemenangan ke atas PKNS FC minggu lalu, anak buah Chong Yee Fatt hanya mencatat keputusan dua kemenangan, satu kekalahan dan dua keputusan seri dalam lima perlawanan terakhir Liga Super.
Jika skuad ibu kota mahu bangkit dan terkeluar daripada zon penyingkiran, mereka perlu bangkit dan mengambil peluang apabila bertemu dengan pasukan lima tercorot liga bagi menambah koleksi mata.
Pertemuan dengan PJ City nanti perlu digunakan oleh para pemain Kuala Lumpur dengan sebaiknya tetapi harus diingat, anak buah K Devan tidak akan memberi cabaran mudah buat skuad Kuala Lumpur.
Berada di tangga ke sembilan liga, PJ City sudah semestinya mahu meneruskan rentak membanggakan sebelum ini di mana mereka berjaya bangkit membenam Terengganu FC biarpun sebelum ini ketinggalan dengan tiga jaringan.
Kebangkitan PJ City dalam tempoh 45 minit sudah pastinya menjadi petanda bahawa mereka bukanlah pasukan yang hadir tanpa cabaran dan pulang tanpa kemenangan, mereka adalah pasukan yang tinggi daripada segi motivasi dan keghairahan untuk menang.
Justeru, pertembungan kedua-dua pasukan ini pastinya menjanjikan persembahan yang menarik kerana kedua-dua pasukan mampu mencipta kejutan.