Liga Super Malaysia Berita

Larkin jadi saksi pertemuan dua musuh utama

Pertemuan Johor Darul Ta’zim bertemu pasukan Pahang pastinya menjadi perlawanan tumpuan minggu ini selepas Liga Super berehat seketika bagi memberi laluan kepada saingan Piala FA yang berlangsung minggu lalu.

Pada pertembungan di Stadium Darul Makmur, anak buah Benjami Mora berjaya mengikat Tok Gajah, 1-1 hasil jairngan Gonzalo Cabrera (JDT) dan Herold Goulan (Pahang).

Harimau Selatan yang mencatat 30 mata dan berada di tangga pertama liga semestinya ingin meneruskan penguasaan liga serta akan menghalang kebangkitan Pahang yang dibezakan hanya lima mata di tangga ke dua Liga Super.

Bermain di hadapan penyokong sendiri akan digunakan dengan sebaik mungkin oleh para pemain JDT dan sudah pastinya gelanggan keramat ini selalu menjadi mimpi ngeri bagi setiap pasukan yang bertandang.

“Harimau Selatan telah mendapatkan rehat secukupnya selepas perlawanan saingan Liga Juara-Juara AFC menentang Kashima yang menyaksikan keputusan membanggakan dan kini perhatian mereka beralih pula kepada pertembungan kejuaraan Liga Super Malaysia.” Kata kenyataan yang dikeluarkan di media rasmi JDT, Johor Southern Tigers.

Kemenangan ke atas Kashima Anterls baru-baru ini adalah detik bersejarah buat pasukan daripada selatan tanah air apabila berjaya menundukkan juara bertahan Liga Juara-Juara Asia.

Justeru, moral para pemain berada di tahap yang tinggi pada perlawanan dengan Pahang nanti.

“Moral pemain berada di tahap yang tinggi berikutan aksi persembahan yang baik di saingan liga dan Liga Juara-Juara AFC, sekaligus memotivasi para pemain untuk menunjukkan keinginan meraih kejuaraan pada minggu ini.”

Bagi pengendali Tok Gajah, kemenangan ke atas Terengganu FC (TFC) dalam saingan Piala FA harus dijadikan suntikan semangat bagi mengharungi perlawanan di Larkin nanti.

Beliau juga mengakui tugas getir bakal menanti Tok Gajah apabila bertandang ke Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos.

“Bertandang ke gelanggang mereka (JDT), sudah pasti menjadi cabaran yang sangat besar kepada kami dan saya sudah maklumkan kepada semua pemain supaya memberikan fokus sepenuhnya dan bermain dengan penuh bersemangat.

“Kunjungan ke Larkin adalah tugas berat dan memandangkan kita ketinggalan lima mata, sudah tentu kita mahukan kemenangan selepas sekadar seri 1-1 pada pusingan pertama Liga Super sebelum ini.

“Saya harap kemenangan ke atas TFC Jumaat lalu menjadi pencetus semangat kepada pemain menunjukkan prestasi konsisten mereka,”