Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa berkata persatuan itu hanya akan mengadakan kongers ke-31 selepas Aidilfitri bulan depan dan bukannya seperti yang diarahkan oleh Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) iaitu pada atau sebelum 31 Mei ini.
Tambah beliau lagi, KLFA tidak akan berganjak dengan asakan pihak luar dan menyatakan pendirian mahu membawa kes ini ke FIFA jika PJS berterusan campur tangan dalam urusan KLFA.
“Kalau mereka (PJS) kacau (campur tangan) lagi, kami akan guna peguam dan paling tinggi kami pergi (buat aduan) kepada FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa).
“Kami tak peduli, apa nak jadi-jadilah… Kami sudah dapatkan pandangan daripada peguam dan mereka juga sedia membantu. Kenapa nak kena ikut PJS? Kami kena ikut (statut) sendiri.
“Kalau nak gantung pun gantunglah, yang penting sekarang ini kami akan lawan. Sebenarnya campur tangan mereka menyebabkan kami tidak boleh jalankan mesyuarat.
“Sepatutnya mereka bagi kami selesai dulu (masalah dalaman). Saya nak soal satu saja, kenapa kes Selangor diam? kenapa bila Selangor pecat 43 ahli gabungan (PJS) tak ambil tindakan, tapi kenapa sibuk dengan KLFA,” katanya kepada BH Sukan.