Kedah dahaga meneruskan rentak kemenangan ke atas PKNS FC apabila kedua-dua pasukan dijadualkan bertemu kembali pada aksi timbal balik suku akhir kedua di Stadium Darul Aman, esok malam.
Kemenangan besar 3-1 ke atas PKNS pada penghujung April lalu bakal menjadi bekalan selesa buat anak buah Aidil Sharin Sahak bagi meneruskan perjuangan mereka dalam aksi Piala FA.
“Kami akan teruskan semangat juang serta kesungguhan yang ditunjukkan di Shah Alam walaupun ada yang menganggap ianya bekalan selesa buat kami.”
“Perjuangan tetap sama, sepertimana kami turun ke Shah Alam dengan kesungguhan mencari kemenangan, kami juga akan beraksi di laman sendiri dengan semangat berpasukan yang tinggi, serupa seperti perlawanan lalu.”
“Saya amat berharap semua pemain dapat meneruskan rentak permainan denan penuh keyakinan dengan fokus kemenangan pada perlawanan Jumaat.
“Pemain harus ingat detik selepas memperolehi kemenangan pada perlawanan pertama menentang PKNS FC (3-1) dan perlawanan menentang Kuala Lumpur (5-2) baru-baru ini.”
Aidil turut mengingatkan para pemain agar tidak mengambil mudah lawan mereka biarpun beraksi di laman sendiri.
“Kami tidak boleh ambil mudah walaupun Kedah kini berada dalam landasan yang terbaik kerana PKNS FC pasti hadir untuk tidak menyerah kalah dan mahu mencari gol seberapa banyak yang boleh.”