Malaysia Berita

AFC pertimbang hasrat FAM tunda perlawanan

Hasrat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menundakan aksi play-off kelayakan Piala Dunia berdepan Timor Leste pada Jun ini dipertimbangkan oleh badan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan rasmi sebelum ini telah menyatakan hasrat untuk menunda aksi pertama yang dijadualkan berlangsung pada 6 Jun kepada 7 jun.

Manakala Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John ketika ditemui pada Sidang Kemuncak Bolasepak Dunia (WFS) Asia berkata pihak beliau masih belum menerima apa-apa permohonan rasmi daripada badan induk bola sepak negara.

“Bagi menunda perlawanan yang sudah dijadualkan, biasanya kami akan mendapatkan persetujuan daripada kedua-dua pasukan. Kami belum terima apa-apa permohonan dan kami mendapat permohonan, sudah pasti kami akan melihatnya (untuk pertimbangan),” kata Stuart.

“Tapi mereka perlu tahu jika mahu mengubah tarikh, mereka perlu lakukan dengan cepat kerana ia membabitkan urusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA). Jadi untuk buat perubahan, mereka kena hantar surat kepada kami.”

Tetapi sebelum tarikh perlawanan diputuskan, Timor Leste perlu mengesahkan venue perlawanan terlebih dahulu.

“Tarikh 30 April (esok) adalah tarikh akhir bagi mengesahkan venue perlawanan dan bukannya memutuskan tarikh perlawanan. Bila venue sudah ditetapkan baru kita boleh bincang mengenai tarikh perlawanan,” katanya.