Cristiano Ronaldo mencipta sejarah peribadi apabila meledak gol ke-600 dalam kariernya apabila Juventus mencatat keputusan seri 1-1 dengan Inter Milan awal pagi tadi.
Juventus sebelum ini telah dinobatkan sebagai juara liga Itali buat kali kelapan berturut-turut setelah menang ke atas Fiorentina minggu lalu.
Dalam perlawanan tersebut, Inter terlebih dahulu dihadapan menerusi Radja Nainggolan sebelum Ronaldo menyamakan kedudukan pada babak kedua.
“Saya mempunyai Cristiano Ronaldo dan saya gembira,” kata jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri.
“Mempunyai seorang pemain sepertinya adalah sangat penting kerana selepas satu kesilapan, dia sangat marah dan meneruskan permainan dengan corak berbeza.”
Juventus kekal dipuncak liga dengan kutipan 88 mata.
“Pada babak pertama, kami mengalami situasi bola mati, kami mungkin ketinggalan 2-0 di belakang tetapi selepas itu, kami berdepan babak kedua yang bagus,” kata Allegri.
“Inter adalah sebuah pasukan yang kuat, berjuang untuk berada dalam Liga Juara-Juara. Bukan mudah, kami ketinggalan. Kita harus berterima kasih kepada pemain, kerana menamatkan perlawanan di kedudukan yang baik.”
Perlawanan yang dikenali sebagai ‘Derby d’Italia’ ini adalah salah satu aksi paling sengit di Itali.