Luar Negara Berita

Juventus rangkul gelaran kelapan, Allegri mahu terus kekal bersama Old Lady

Juventus berjaya merangkul gelaran liga buat kali kelapan Serie A apabila membenam Fiorentina 2-1 pagi tadi.

Bagi pengendali Juventus, Massimiliano Allegri memberi bayangan bahawa beliau akan setia bersama kelab The Old Lady pada musim hadapan.

“Kami akan menikmati makan malam Easter dan selepas itu saya akan berbincang dengan presiden dan pegawai kelab,” kata Allegri kepada Sky Sport Italia.

“Saya pasti akan terus kekal bersama Juventus. Saya masih ada setahun kontrak tetapi saya belum berbincang mengenainya setakat ini.

“Ia tidak berbangkit mengenai kontrak, tetapi matlamat kami adalah masa depan Juventus.

“Juventus akan membina pasukan yang bukan setakat boleh menang perlawanan tetapi ia perlu melakukan penilaian untuk mencari ruang peningkatan, ia memang ada dalam perancangan lima tahun.”

Bekas pengurus AC Milan turut menafikan bahawa Paulo Dybala bakal menyertai Real Madrid.

“Musim Dybala di sini sangat bagus terutama sehingga Januari,” katanya.

“Kami beraksi banyak perlawanan bersamanya, begitu juga dengan Ronaldo dan Mandzukic. Ronaldo adalah penjaring gol, tengok saja ketika aksi dia berdepan Ajax. Untuk gandigannya, kita perlukan pemain dengan karekter berbeza dan Dybala adalah pemain yang hampir dengannya dan dia bekerja keras.

“Jika kamu menurunkan tiga penyerang serentak, pemain lain di belakang mereka akan mula letih dan jika perkara ini berlaku masalah akan timbul,” kata Allegri