Luar Negara Berita

JDT congak strategi kekang Fellaini

Pemain tengah Manchester United, Marouane Fellaini terkenal dengan keupayaan beliau di udara dan permainan yang mantap.

Bekas pemain Belgium dengan ketinggian 1.94m yang bermain dalam dua edisi Piala Dunia akan memimpin kelab barunya Shandong Luneng dari China menentang juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan Liga Juara-Juara AFC esok.

Fellaini, yang membantu Manchester United memenangi Piala FA pada musim 2015-16, setakat ini menjaringkan satu gol daripada tiga penampilan untuk pasukan Super League China, Shandong.

(Photo by Simon Stacpoole/Offside/Getty Images)

Bekas pemain Manchester United memperoleh £235,000 (RM1.2 juta) seminggu di Shandong adalah pemain yang mampu untuk menukar permainan dan perlu diingat Fellaini bukan satu-satunya masalah untuk JDT.

Mereka juga perlu berhadapan dengan bekas penyerang Southampton, Graziano Pelle yang telah menjaringkan empat gol pada kempen Liga Juara-Juara untuk Shandong.

Fellaini menyertai Shandong semasa jendela perpindahan Januari lalu dan bekas penyerang Southampton, Pelle adalah tekanan yang perlu dibendung juara lima kali Liga Super.

JDT perlu menghasilkan strategi yang berkesan untuk mengatasi kehadiran mereka.

Justeru, bagi kapten JDT, Hariss Harun menegaskan bahawa JDT bersedia memberi aksi yang mencabar biarpun Shandong membarisi pemain bintang.

“Sudah tentu ia perlawanan mencabar dan sukar bagi kami kerana kita beraksi di tempat lawan, kami perlu segera menyesuaikan diri dengan keadaan padang di sana dan tempoh tiga hari untuk membuat persiapan rapi mungkin akan menyuntik semangat saya dan rakan sepasukan berdepan kelab China itu.

“Kami baru sahaja selesai aksi menentang FELDA United, baru-baru ini dan keputusan untuk tiba awal di China akan beri kesan untuk pemulihan serta menyesuaikan diri dengan cuaca, ia juga beri ruang kepada kami membuat persiapan.

“Kita sedar mereka ada pemain seperti Felllani yang semua tahu adalah pemain antarabangsa Belgium dan bekas pemain Manchester United. Sudah tentu ia satu cabaran besar buat saya dan rakan sepasukan untuk berdepannya,” katanya.