Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya memintas Pahang bagi meletakkan mereka di takhta Liga Super selepas menundukkan FELDA United, 3-1 dalam perlawanan yang penuh dramatik di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini, semalam.
Skuad Harimau Selatan sebelum ini terikat 1-1 dengan Kedah pada 29 Mac lalu turun dengan misi mengutip tiga mata penuh.
Gol JDT dihasilkan oleh Gonzalo Cabrera, Akhyar Rashid dan Diogo pada minit-minit akhir perlawanan selepas tiga pemain FELDA dikenakan kad merah.
Bagi Luciano Figueroa, pengurus JDT, beliau menyatakan perasaan gembira dengan pungutan tiga mata, “saya amat gembira dengan kemenangan dan pungutan tiga mata pada perlawanan ini. Saya perlu mengucapkan tahniah kepada para pemain kerana telah melakukan yang terbaik. Amat sukar untuk bermain dengan pasukan hebat seperti Felda United.
“Adalah amat sukar untuk menentang pasukan yang meletakkan 11 pemain sebagai barisan pertahanan. Kami telah melakukan banyak percubaan untuk menjaringkan gol serta telah melakukan segala-galanya sepanjang perlawanan berlangsung.” Katanya.
Beliau juga mengulas lanjut tentang penyerang mereka, Diogo yang dikawal ketat oleh pemain FELDA.
“Mengenai Diogo yang sering diasak oleh pemain lawan, apa yang boleh saya katakan adalah pasukan lawan tahu cara permainan kami. Mereka juga kenal para pemain kami. Mereka akan ‘mark’ pemain terbaik kami dan ia agak sukar bagi kami.
“Walaubagaimanapun beliau berjaya mencipta satu jaringan pada separuh masa kedua dan saya cukup gembira dengan perkara tersebut.” Kata Luciano Figueroa