Ketua jurulatih Petaling Jaya City FC, K. Devan anggap penjenamaan semula pasukan itu musim ini sudah mula memberikan perkembangan positif melalui peningkatan penyokong selepas tujuh aksi liga super setakat ini.
Jelas Devan, pasukan itu kian menerima kehadiran penyokong yang lebih memberangsangkan sepanjang harungi Liga Super musim ini di samping sokongan tambahan daripada Kumpulan QI pada setiap perlawanan.
Situasi ini dilihat satu perbezaan ketara kepada Devan selepas bersama dengan pasukan sejak 2017 sambil turut gembira cara pasukan itu dikendalikan yang seiring dengan pengurusan bola sepak profesional.
“Dengan penjenamaan semula pasukan, saya melihat kehadiran penyokong sememangnya meningkat. Bahkan kita juga ada penyokong sendiri daripada kumpulan QI dan daripada segi penganjuran perlawanan juga begitu sistematik.
“Jika kami bertandang ke laman lawan, sudah ada peminat PJ City turut bersama berikan sokongan kepada kami dan ini satu pembaharuan kepada pasukan.
“Sebelum ini, sukar hendak dapat sokongan jika bermain di laman lawan tetapi sekarang sudah ada purata 500 penyokong yang akan hadir saksikan perlawanan.
“Malah serba serbi pengurusan pasukan ini semuanya tampak semakin baik sejak pasukan ini dijenamakan semula dan kami harap situasi berkenaan akan berterusan,” katanya.
PJ City FC yang sebelum ini dikenali sebagai MIFA telah lalui proses penstrukturan semula selepas QNET bertindak menjadi penaja utama musim ini yang menjadikan kelab itu bergerak ke arah lebih profesional dalam segala aspek pengurusan.
Bahkan, penggunaan nama PJ City FC itu diambil dengan melihat kepada peluang kepada penambahbaikkan nilai komersial pasukan ini pada musim 2019.
PJ City FC ketika ini berada di tangga ke-9 Liga Super dengan dua kemenangan, empat kekalahan dan satu seri.
Bagaimanapun, Devan tidak melihat itu sebagai keputusan yang kekal lama apabila menaruh kepercayaan tinggi kepada anak buahnya untuk terus mencuri mata bagi perbaiki kedudukan liga selepas ini.
Melihat kepada sasaran untuk berada di kelompok lima terbaik liga musim ini, bekas jurulatih Kelantan itu percaya PJ City FC masih di laluan tepat apatah lagi selepas menang 1-0 atas pasukan yang kini di tangga ke 4, PKNS FC Sabtu lalu.
“ Saya masih yakin jarak kutipan mata tidaklah terlalu jauh dan peluang tetap ada untuk menambahbaik pasukan selepas ini. Semangat pemain dan keputusan terbaru yang diperoleh ketika menentang pasukan lebih handal seperti PKNS FC tempoh hari membuktikan sasaran untuk berada di tangga kelima liga tercapai”, katanya.