Dua gol pada kedua memberi Poland kemenangan kedua kempen kelayakan Euro 2020 apabila menewaskan Latvia 2-0 awal pagi tadi.
Poland sebelum itu mencatat kemenangan ke atas Austria 1-0 di gelanggang lawan bagi mengutip enam mata penuh dalam saingan Kumpulan G.
Poland mempunyai banyak peluang terhidang tetapi gagal melepasi dinding pertahanan Latvia. Tuan rumah yang gagal mencari gol awal bernasib baik apabila penyerang tunggal mereka, Robert Lewandowski memberi gol pendahuluan pada minit ke-76 sebelum Kamil Glik menambah gol kedua enam minit selepas itu.
Penyerang Bayern Munich, Lewandowski gagal memanfaatkan peluang apabila tiga cubaan beliau ditepis penjaga gol Latvia, Pavels Steinbors manakala satu cubaan beliau terkena palang.
Gol pembukaan terhasil melalui hantaran tinggi pertahanan kiri, Arkadiusz Reca menemui Lewandowski untuk tandukan yang memecah kebuntuan sebelum Glik menambah duka pelawat dengan gol yang hampir sama.
Pada satu aksi lain Kumpulan G, Israel berjaya menewaskan Austria 4-2 dan meletakkan mereka di tangga kedua.