
Harimau Malaya mempunyai rekod yang baik selama pertemuan dengan Singapura sejak daripada 1958, tetapi bagi pengendali negara, Tan Cheng Hoe tidak mahu anak buahnya terbuat-buat dengan rekod tersebut.
Selama pertemuan Singapura dan Malaysia, skuad Harimau Malaya mencatat 25 kemenangan dalam 63 pertemuan dan mempunyai rekod 99 jaringan gol berbanding Singapura yang memiliki 16 kemenangan dan 73 jaringan gol.
Bercakap kepada Arena Metro, Tan Cheng Hoe berkata “setiap perlawanan semuanya penting dan kita menghormati pihak lawan terutama Singapura yang kita anggap pesaing utama dalam mana-mana pertandingan.
“Tekanan sentiasa ada dan sudah tentunya saya sebagai jutulatih mahu pemain kekal fokus dan tidak memikirkan perkara lain. Kita kena ada kesungguhan dan saya tak mahu sebarang insiden yang tak baik.
“Pemain kena sentiasa tenang dan jangan mempersoalkan keputusan pengadil betul atau salah kerana saya mahu mereka fokus 90 minit daripada perkara lain,” katanya.
Beliau juga menjelaskan tahap kecergasan penyerang Pahang, Norshahrul Idlan Talaha yang dilaporkan mengalami selsema sebelum ini.
“Dia (Norshahrul) dah berlatih bersama pasukan pagi ini (semalam). Saya lihat dia dah bersedia untuk diturunkan nanti, malah pemain lain juga semuanya sedia untuk beraksi,” katanya.