Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyeru penyokong bola sepak tempatan untuk turun ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memberi sokongan kepada skuad kebangsaan yang bakal beraksi hari ini menentang Singapura.
FAM juga menyeru agar penyokong negara tidak memboikot kejohanan ini seperti yang dilakukan beberapa pihak tertentu kerana bagi mereka kejohanan Piala Airmarine adalah satu usaha untuk mengaut keuntungan oleh organisasi tertentu.
Setiausaha FAM, Stuart Ramalingam dalam kenyataannya yang di muat naik di laman web rasmi FAM menyatakan bahawa kejohanan Piala Airmarine adalah salah satu langkah FAM untuk memasarkan pasukan kebangsaan bagi menjana pendapatkan dan memberi sumber kewangan.
“Dari sudut pemasaran dan komersial, FAM perlu memaksimumkan nilai pasukan kebangsaan bagi menjana pendapatan dan mencari sumber kewangan untuk disalurkan semula ke dalam bentuk pembangunan pasukan kebangsaan pelbagai peringkat umur.
“Sebagai badan induk yang berdepan masalah kewangan terhad, FAM mengalu-alukan tawaran pihak ketiga seperti ProEvents menganjurkan kejohanan sebegini.
“Bagi Piala AIRMARINE 2019, ProEvents sebagai promoter kejohanan ini mengambil risiko menganjurkan kejohanan sebegini dengan mencari sumber tajaan sendiri dan menanggung kos operasi penganjuran membawa masuk tiga negara ke Kuala Lumpur.
“Justeru, harga jualan tiket yang telah ditetapkan itu adalah bagi menampung kos-kos yang berkaitan. Sebelum ProEvents meraih apa-apa keuntungan, mereka perlu menampung terlebih dahulu kos yang telah dibelanjakan bagi menjayakan kejohanan ini,” katanya.
Bagi penyerang skuad negara, Zaquan Adha menghormati pendirian segelintir penyokong yang mahu memboikot kejohanan ini tetapi bagi beliau jika penyokong mempunyai sikap patriotik, mereka akan turun tidak kira apa jua kejohanan yang disertai skuad kebangsaan.
“Kami juga ada maruah dan buat kerja kami untuk negara. Tetapi apabila ada ingin boikot, ia mungkin boleh menjatuhkan semangat kami. Kalau boleh datanglah ke stadium beri sokongan kepada kami kerana kami juga manusia biasa, bukannya robot.
“Namun kalau (terus) boikot atas alasan masing-masing, saya tidak boleh paksa. Masing-masing ada alasan sendiri namun kami tetap mengharapkan sokongan anda semua,” katanya semalam kepada Berita Harian.