Luar Negara Berita

Tiada Siapa Boleh Memadam Semangat Kami – Jurgen Klopp

Dalam aksi penuh debaran bagi menamatkan kemarau gelaran sejak 1990, Liverpool berjaya bangkit mengatasi Burnley 4-2 pagi tadi bagi merapatkan jurang dengan pendahulu liga, Manchester City.

Roberto Firmino dan Sadio Mane masing-masing menyumbang dua gol bagi memastikan pasukan bimbingan Jurgen Klopp bangkit daripada ketinggalan hasil jaringan cantik Ashley Westwood seawal minit ke enam.

“Ia adalah mesej jelas bahawa tiada siapa boleh memandang sepi hasrat kami,” kata Klopp, yang sebelum ini terlepas mata berharga apabila sekadar mengutip dua kemenangan daripada enam perlawanan terakhir mereka.

“Kami ada gabungan sempurna untuk melawan pencabar kami.

“Apa yang penting, kami perlu pastikan kekal dalam perebutan ini dan berada di atas. Kami tiada masalah mengenai soal keyakinan, kami berada dalam keadaan terbaik.”

Liverpool berpeluang kembali memintas City apabila menentang Fulham Ahad ini ketika City pula bertarung di Piala FA.