Melaka United (MU) tidak dapat menggunakan khidmat pemain import kelahiran Kosovo, Liridon Krasniqi yang dilaporkan mengalami kecederaan ketika berdepan Kuala Lumpur minggu lalu.
MU bakal turun berdepan Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada perlawanan keenam Liga Super esok.
Jurulatih MU, Zainal Abidin Hassan berkata kepada Berita Harian bahawa Saiful Ridzuan Selamat bakal menggalas tugas yang ditinggalkan Liridon dan bakal bergandingan dengan bekas pemain tengah berpengalaman negara, Safiq Rahim.

“TFC diakui pasukan yang matang berdasarkan rekod persembahan sebelum ini, tambahan aksi berlangsung di laman mereka. Justeru sudah pasti skuad terbabit mahu merekodkan kemenangan.
“Namun kejayaan mengatasi KL 2-0 minggu lalu jelas bekalan terbaik buat kami mengintai mata maksimum walaupun menyedari tuan rumah berusaha keras menyekat kemaraan skuad Hijau Putih,” katanya kepada Berita Harian.
Dalam perkembangan yang sama, skuad Hang Tuah bakal turun dengan semua pemain bebas daripada kecederaan. Ini bakal memberikan kelebihan buat pengendali MU apabila boleh membuat banyak pilihan untuk menyenaraikan kesebelasan utama.