Malaysia Berita

FAM Lulus Cemerlang

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dipilih sebagai penerima penilaian lima bintang pertubuhan sukan kebangsaan 2018.

FAM dipilih atas dasar kecekapan dalam hal berkaitan tadbir urus serta mempunyai masa depan yang baik daripada segi perancangan yang lebih bersistematik.

Mereka juga dipuji dengan sistem tadbir urus yang baik dan cekap diamalkan oleh FAM, kata Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman kepada Arena Metro.

“Kita mengambil kira pelbagai aspek dan FAM berjaya menguruskan persatuan dengan cukup teratur dan penuh tertib.

“Perkara yang paling jelas adalah mereka berjaya menguruskan tadbir urus dengan baik seperti menyediakan laporan lengkap setiap mesyuarat atau kongres yang dijalankan serta pemilihan lokasi (kongres) yang mengikut standard antarabangsa di hotel-hotel terkemuka.

“Selain itu, perjalanan setiap ahli gabungan di negeri-negeri juga baik dan mengikut peraturan sedia ada tanpa pelanggaran yang boleh memberi kesan kepada pemarkahan.

“Malah, FAM juga mempunyai pelan jangka panjang yang bagus seperti pelancaran F:30 (Peta Hala Tuju) yang dilancarkan tahun lalu.

“Berdasarkan semua kriteria itu, mereka sememangnya layak mendapat markah penuh dan patut menjadi contoh kepada persatuan sukan lain di negara ini,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.