Malaysia Berita

PFA Nafi Tipu Kontrak, Timbalan Buat Laporan Polis

Lebih 18 pemain Perlis Northern Lion 2 (PNL2) membuat laporan polis semalam selepas mendapat tahu bahawa selama ini mereka ditipu oleh Persatuan Bolasepak Perlis (PFA).

Pemain-pemain ini diwakili oleh bekas kapten mereka, Ezzrul Imanizar Abd Rahman menamakan dua individu yang bertanggungjawab menipu dan menyeleweng duit.

Terbaru, Timbalan Presiden PFA, Mohd Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan, tampil menafikan laporan tersebut dan beliau juga telah membuat laporan polis bagi mempertahankan integriti persatuan itu.

“Sebenarnya saya menumpukan kepada proses rayuan terlebih dulu sebab semalam saya hanya lihat atau mendapat makluman daripada media.

“Saya serahkan kepada pihak berkenaan bagi buat siasatan dan memastikan ia benar dan saya akan kumpul bukti-bukti yang diperlukan,” katanya kepada Berita Harian semalam.

Sebagai menafikan dakwaan tersebut, beliau telah membuat laporan polis hari ini bagi menafikan dakwaan PNL2 yang menyatakan bahawa beliau telah menyeleweng RM11,000.

“Saya ke Balai Polis Travers ini untuk membuat laporan polis berkenaan laporan (polis) daripada pemain PNL2 yang dilakukan di Kangar mengenai penyelewengan duit RM11,000.

“Laporan polis ini sebagai penafian atas pertuduhan kepada saya dan kami serahkan kepada pihak polis untuk buat siasatan selanjutnya. Saya akan bersedia bekerjasama dan (akan) menyerahkan bukti berkaitan kerana urusan kewangan diuruskan bendahari PFA sendiri.

“(Laporan polis) ini adalah untuk menafikan apa-apa pertuduhan kepada saya dan demi menjaga imej termasuk imej Persatuan Bola Sepak Perlis sendiri,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di sini.