Pengendali Selangor, B Sathianathan mengakui bahawa pasukan kendalian beliau bermula perlahan pada saingan Liga Super musim ini apabila mencatat keputusan seri dalam dua perlawanan awal.
Selepas berkongsi mata dengan Felda minggu lalu di Stadium Shah Alam, pasukan kendalia beliau sekali lagi terpaksa akur untuk berkongsi mata dengan Petaling Jaya City FC apabila hanya mencatat keputusan seri, 1-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Bagi jurulatih berusia 60 tahun ini, beliau melihat tiga faktor utama yang menyumbang kepada pretasi kurang menyakinkan pada perlawanan menentang Petaling Jaya City FC.
Memetik kata-kata beliau di Sukan NST, Sathianathan berkata pemain sayap Antonio German dari Grenada gagal menunjukkan aksi sebenar, pemain Selangor terlalu tergesa-gesa dan beberapa keputusan pengadil Suhaizi Shukri tidak memuaskan adalah tiga faktor yang menyebabkan pasukan beliau gagal meraih tiga mata penuh semalam.
“Saya tidak akan memberi amaran kepadanya (German) tetapi saya akan memberi nasihat kepadanya kerana semasa perlawanan persahabatan dan perlawanan pertama (menentang Felda), dia bermain dengan baik,” kata Sathianathan.
Beliau juga tidak menolak keadaan padang yang kurang baik.
“Dia (German) tidak pernah bermain di padang seperti ini tetapi itu bukan alasan. Saya akan berjumpa dengannya kerana prestasinya hari ini tidak memuaskan.”
“Kami perlu ambil perhatian bagaimana cara kami membuat hantaran kerana kami terlalu tergesa-gesa. Dan bermain hantaran panjang tidak akan berfungsi kerana bahaya dari serangan balas. Ini harus dihentikan pada perlawanan seterusnya.
“Semua orang mahu menjaringkan gol, mereka mahu menunjukkan mereka dapat menjaringkan gol tetapi mereka tidak tenang di depan gawang.”
Sathiananthan mendedahkan bahawa dia sedang mencari ahli psikologi Uitm untuk meningkatkan kekuatan mental Red Giants.
“Ia bukan hanya latihan fizikal tetapi mental. Kawasan ini benar-benar penting dan kami mempunyai kerjasama dengan Uitm untuk menggunakan ahli psikologi mereka.
“Kami sedar akan tekanan (kerana reputasi Selangor) pada pemain kami.”
Sathianathan turut mengkritik beberapa keputusan pengadil yang disifatkan tidak menjaga para pemain.
“Pengadil tidak melindungi (para pemain) kerana banyak kali pemain saya diserang dari belakang tetapi kad kuning diberi begitu lambat. Dia tidak mengawal (perlawanan) dan dalam perlawanan sebelumnya (terhadap Felda), itu adalah pengadil yang sama. Dan apabila kita meminta penalti, dia tidak memberi. “