B. Sathinathan mencabar barisan pemain muda Selangor untuk mengikut jejak langkah pertahanan kanan negara, Muhammad Syahmi Safari yang menunjukkan aksi cemerlang dalam membantu skuad Harimau Malaya melangkah ke final Piala AFF Suzuki 2018.
Syahmi Safari, pemain paling konsisten pada kempen Piala AFF berada pada tahap terbaik dan bakal mengisi kesebelasan utama skuad Selangor musim hadapan.
Bagi beliau, beliau adalah contoh terbaik dan mahu pemain muda skuad The Reds mengikut apa yang telah dilakukan Syahmi pada peringkat antarabangsa.
“Pemain muda dari Selangor jadi bintang dalam Piala AFF Suzuki 2018, saya mahu pemain muda ini ikut jejak Syahmi.
“Satu contoh yang baik (untuk pemain muda), tidak mustahil pemain muda dalam ‘1st eleven’,” katanya seperti yang dipetik didalam Berita Harian selepas majlis pelancaran jersi ketiga serta sesi pengenalan pemain bola sepak Selangor di Stadium Shah Alam.
Beliau juga memberi maklum balas apabila ditanya kuato pemain import yang masih kosong selain diisi oleh penyerang kelahiran Sepanyol, Rufino Segovia.
“Seorang pemain sedang dalam perbincangan, dia pernah bermain dengan saya, ia (pemain import) akan diisi bagi posisi pertahanan tengah dan pemain tengah.
“Mungkin saya tidak gunakan (kuota) pemain import ASEAN, sebab yang terbaik datangnya dari Vietnam dan Thailand, tetapi mustahil mereka hendak bermain di sini, jadi kita perlu realistik,” katanya kepada Berita Harian.