Malaysia Berita

Harimau Malaya Disambut Penyokong

Skuad Harimau Malaya yang tewas kepada Vietnam pada perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 menerusi agregat 2-3 di Hanoi, Sabtu lalu selamat tiba di Kuala Lumpur hari ini.

Anak buah Tan Cheng Hoe yang tiba Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disambut kira-kira 200 penyokong negara di Dataran Merdeka semalam pada majlis menghargai pemain negara.

Kuala Lumpur yang melalui musim hujan tidak membuatkan para penyokong berganjak daripada memberi sokongan kepada Harimau Malaya. Malah, semangat mereka mendapat pujian daripada Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi.

Memetik kata-kata beliau di Berita Harian, Datuk Yusoff Mahadi mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong yang hadir dan menyatakan bahawa ini adalah titik permulaan kepada perubahan pasukan negara.

“Ini baru titik permulaan dalam perubahan pasukan bola sepak negara. Hari ini kita muncul naib juara dan kita akan berusaha untuk menjadi juara pada masa depan.

“Tapi ia memerlukan sokongan daripada seluruh penyokong dan kami sangat berterima kasih kepada anda semua yang sanggup berkorban demi Harimau Malaya.

“Bagi FAM, kami akan berusaha bagi meletakkan bola sepak negara ke tahap yang lebih tinggi,” katanya ketika berucap di majlis itu.