Pengendali Barcelona, Ernesto Valverde percaya penyerang utama Luis Suarez akan cergas sepenuhnya menjelang pertemuan dengan Espanyol pada Sabtu ini sebelum bertemu Tottenham di saingan Liga Juara-Juara.
Suarez yang mengalami kecederaan lutut ketika Barcelona seri dengan Atletico Madrid pada 24 November lalu dilaporkan sudah pulih daripada kecederaan dan beliau percaya Suarez dapat mengembalikan kecergasan beliau bagi pertemuan ‘derby’ dua kelab Catalan itu.
“Kami sangat optimistik untuk pertemuan dengan Espanyol,” kata jurulatih Barcelona.
“Kami berharap Sabtu ini Suarez dapat diturunkan,” katanya lagi.
Valverde ketika ditanya mengenai kemenangan Luca Modric memenangi anugerah Ballon d’Or mengatasi pemain Barcelona, Lionel Messi yang menduduki tangga ke-5 dalam senarai undi tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.
“Saya tak mahu mengulas sama ada ia keputusan yang betul atau salah. Saya bukanlah orang yang wajar menerangkan mengenai perkara itu.
“Apapun kami ucapkan tahniah kepada Modric kerana dia adalah seorang pemain yang hebat,” katanya. – AFP