Malaysia Berita

Piala AFF Suzuki 2018 : Bekas Pemain Persoal Tan Cheng Hoe

Kekalahan pasukan Harimau Malaya ke atas Vietnam telah mencetuskan banyak persoalan tentang kredibiliti Tan Cheng Hoe selaku pengendali negara bagi kejuaraan Piala AFF Suzuki 2018.

Daripada pemilihan pemain yang menyaksikan ada beberapa posisi nampak tidak seimbang dan terbaru, bekas pemain kebangsaan, Bakri Ibni mempersoalkan taktikal yang digunakan Cheng Hoe bagi menghadapi Vietnam.

Malaysia yang tewas kepada Vietnam dilihat turun dengan taktik menyerang manakala Vietnam lebih banyak bertahan dan hanya menyerang dengan gerakan laju.

Bakri Ibni menyatakan bahawa skuad negara sepatutnya perlu turun dengan taktikal bertahan kerana Vietnam mempunyai keupayaan untuk menembusi pertahanan kita dengan gerakan menyerang yang laju daripada mereka.

Tambahan pula, skuad Harimau Malaya hadir dengan status bukan pasukan pilihan serta tidak mempunyai rehat yang cukup berbanding pasukan Vietnam yang mendapat rehat yang panjang.

“Kalau ada mekanisma pegang bola 20 sentuhan boleh dapat satu gol, saya kira Malaysia boleh menang besar malam itu,” katanya ketika dihubungi Sukan NSTP.

“Vietnam bukanlah kuat mana pun, mereka juga sebenarnya takut untuk berdepan kita. Ia dapat dilihat apabila mereka lebih menggunakan taktikal bertahan dengan sesekali menyerang balas ke kubu negara.

“Perkara yang menghairankan saya ialah kenapa kita selaku pasukan pelawat pula yang menyerang, sedangkan biasanya pasukan tuan rumah yang akan menyerang untuk mendapatkan gol.

“Tetapi malam itu, terbalik, kita pula menyerang dan Vietnam bertahan. Sepatutnya jurulatih kita mengarahkan permainan tertutup supaya penyerang Vietnam tidak dapat bergerak.

“Dan kita pula mengharapkan serangan balas seperti mana yang pernah dilakukan pasukan Dollah Salleh empat tahun lalu,” katanya.

Vietnam membuka jaringan pada minit ke-11 melalui pemain muda berusia 23 tahun, Nguyễn Công Phượng sebelum rehat masa pertama. Pada separuh masa kedua pula Vietnam menambah beban negara dengan gol ke dua pada minit ke-60 melalui penyerang berpengalaman Vietnam, Nguyen Anh Duc yang berusia 33 tahun pada October lalu.

“Sejak dulu lagi, penyerang Vietnam memang laju macam lipas kudung. Apabila kita tahu penyerang lawan laju, tindakan pertama yang akan diambil ialah kecilkan ruang buat mereka untuk berlari ke depan.

“Tetapi dalam perlawanan kali ini tidak. Pertahanan kita terutamanya kiri dan kanan naik terlalu tinggi dan akhirnya membuka ruang buat penyerang Vietnam untuk bergerak.

“Akhirnya mereka dapat gol, walaupun sebenarnya kita lebih banyak menguasai bola,” katanya yang membawa Malaysia mara ke temasya Sukan Olimpik 1980.

Malaysia akan melayan kunjungan Myanmar pada 24 November nanti dalam misi wajib menang untuk mara ke peringkat seterusnya.