Penolong jurulatih Laos, Firdaus Kassim mendakwa bahawa gol kedua negara yang disumbat oleh Norshahrul Idlan Talaha tidak sepatutnya dibenarkan oleh pengadil perlawanan Sivakorn Pu-Udom ketika Malaysia bertemu Laos pada perlawanan kedua peringkat Kumpulan A pada kempen Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Isnin lalu.
Beliau berkata bahawa Malaysia bernasib baik kerana mendapat gol kontroversi tersebut.
“Pada 10, 20 minit pertama kami mengambil masa untuk menyesuaikan dengan keadaan corak permainan. Kami mengecewakan pemain Malaysia apabila mematahkan serangan mereka untuk tempoh masa yang lama.
“Mengenai gol kedua saya tidak begitu pasti tetapi pemain saya menjerit gol itu terkena tangan (pemain Malaysia), agak mengecewakan. Bagaimanapun, pengadil perlawanan membenarkan jaringan kontroversi itu dan kami menerimanya,” katanya kepada Berita Harian.
Jaringan Norshahrul hadir pada minit-minit akhir perlawanan ketika keadaan yang kucar kacir dihadapan pintu gol Laos setelah pertahan mereka gagal untuk mengeluarkan bola daripada kotak penalti.
Laos yang tewas kedua-dua perlawanan dilihat sukar untuk meneruskan aksi mereka setelah tumpas 0-3 ke atas Vietnam pada perlawanan pertama.
Jurulatih daripada Singapura itu juga mengatakan bahawa perlawanan dengan Myanmar nanti adalah satu perlawanan yang besar dan berharap para pemain menunjukkan semangat juang yang tinggi.
“Kami mengambil perlawanan satu demi satu dan selepas ini kami akan balik untuk melakukan proses pemulihan. Menentang Myanmar merupakan satu lagi perlawanan besar.
“Saya mengharapkan pemain menunjukkan semangat juang yang sama serta memiliki keazaman yang tinggi untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik,” katanya.