Piala Malaysia Berita

Faiz Bersedia Kawal Jentera Tengah Terengganu

Mempunyai ketinggian 1.56 meter serta digelar sebagai ‘Messi Ganu’ bukanlah menjadi halangan untuk Mohd Faiz Mohd Nasir menggegarkan barisan pertahanan Perak bagi misi mencari gol pada perlawanan akhir nanti. 

Beliau yang berusia 26 tahun ini juga berkata sudah bersiap sedia untuk mengawal jentera tengah pasukan dan akan cuba menutup segala kelemahan yang ada.

Perancang bertubuh kecil dari Terengganu ini akui bahawa saiz tubuh beliau kadang-kadang menjadi tiket untuk penyokong lawan mengeluarkan kata-kata negatif tetapi itu hanya akan menguatkan lagi mental dan fizikal beliau.

“Ini final pertama saya dalam piala berprestij ini, sebelum ini hanya muncul juara Piala Presiden,” kata Faiz yang beraksi cemerlang ketika menyingkirkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) di separuh akhir Sabtu lalu.

“Jika jurulatih sekali lagi memberi tugas sebagai perancang, sudah pasti saya mahu lakar sejarah peribadi dan pasukan, tapi kerja ini bukan mudah namun tidak sukar sekiranya rakan sepasukan saling membantu.” Katanya kepada Berita Harian.

Beliau yang bergandingan dengan Lee Tuck dibahagian tengah berharap dapat menghadiahkan Piala Malaysia kepada penyokong Terengganu setelah kali terakhir berbuat demikian adalan 17 tahun lalu.

“Jika boleh kami tidak mahu kemenangan nanti ditentukan melalui sepakan penalti kerana sedar peluang itu 50-50, oleh sebab itu saya mahu menamatkan penantian itu dalam masa sebenar,” katanya.