Skuad muda negara perlu menang pada Selasa pada perlawanan menentang China pada aksi terakhir peringkat kumpulan jika mahu meneruskan perjuangan Kejohanan B-19 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 di Bekasi, Indonesia.
Selepas tewas di tangan Arab Saudi dan seri pada perlawanan menentang Tajikistan semalam, skuad negara menempah laluan sukar untuk terus kekal pada Kejohanan AFC dimana skuad Bojan Hodak perlu mengalahkan China sambil berharap Arab Saudi yang sudah layak mengalahkan Tajikistan.
Pada aksi semalam di Stadium Stadium Patriot Chandrabhaga, Malaysia memulakan perlawanan dengan rentak perlahan dan pertahan negara banyak diasak oleh pemain Tajikistan.
Tetapi pada minit ke-11, Malaysia mengejutkan Tajikistan dengan hantaran Nik Akif Syahiran Nik Mat yang berjaya mencari Hadi Fayyadh Abdul Razak untuk gol pembukaan oleh skuad muda negara.
Setelah diasak keras oleh pemain Tajikistan akhirnya pertahan negara gagal menyerap asakan lawan setelah Tajikistan berjaya menjaringkan gol menerusi sepakan penalti setelah Boboev Sheriddin dijatuhkan oleh Al Imran Halim pada minit ke-34 menjadikan jaringan terikat 1-1.
Pada minit-minit akhir sebelum tamat separuh masa pertama, sekali lagi gawang gol Malaysia berjaya ditembus kali ini dengan jaringan Yodgorov Daler untuk menjadikan kedudukan 2-1.
Anak buah Bojan Hodak cuba bangkit pada separuh masa kedua dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi Nabil Hakim Bokhari pada minit ke-54.
Jaringan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan dengan kedua-dua pasukan gagal untuk menjaringkan gol.
Pada masa yang sama, perlawanan semalam turut menyaksikan beberapa eksiden dimana pengadil terpaksa melayangkan kad merah kepada kedua-dua pasukan.