Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq, membuat lawatan mengejut ke Akademi Mokhtar Dahari (AMD) hari ini dan meluahkan rasa kecewa beliau dengan tahap fasiliti dan nasib pemain yang berada dibawah jagaan AMD.
”Kecewa.” Itulah perkara pertama yang diluahkan Menteri Belia dan Sukan yang dimuat naik didalam laman instagram miliknya.
Syed Saddiq yang baru sahaja menghadiri sesi dialog Pusat Pembangunan Bola Sepak Negara NFDP di Bukit Jalil semalam menambah, pusat latihan yang sepatutnya menjadi pemicu pembangunan negara hanya indah khabar dari rupa.
“Akademi yang sepatutnya menjadi pemacu pembangunan bola sepak negara indah khabar dari rupa. Dengan banyak kerosakan dan fasiliti yang tidak boleh digunakan, saya hanya boleh gambarkan kekecewaan saya.
“Kemudahan asas pun tidak sempurna. Para pemain sendiri complain kepada saya, bilik mereka macam oven. Makanan di sekolah lama mereka, lebih baik dari makanan di sini. Sampai mereka terpaksa seludup makanan, sebab kelaparan.” Katanya.
Selain daripada itu, Syed Saddiq mempersoalkan pelaburan sebanyak RM 85 juta yang disalurkan kepada AMD apabila pemain-pemain yang tinggal disitu mengadu terdapat barang-barang latihan yang sudah lusuh dan terdapat kelengkapan sukan yang tidak cukup.
“Bukan itu saja, dengan bola tidak cukup, baju latihan yang sudah singkat, kasut bola lusuh, masalah kebocoran, gym yang kosong, bilik hydrotheraphy yang tak boleh diguna, performance analysis room yang bocor dan tidak lengkap di mana staff perlu menggunakan laptop sendiri, projek RM 85 juta ini amatlah mengecewakan.” Tambah beliau.
Syed Saddiq berjanji akan menyelesaikan perkara ini dan mengambil tindakan tegas.
“Saya memandang serius perkara ini. Saya akan mengambil tindakan tegas untuk menangani masalah di AMD, untuk masa depan bola sepak negara.” Tulis beliau dilaman instagram miliknya.
Akademi Mokhthar Dahari adalah pusat latihan bolasepak bagi mereka yang berada di bawah program Pusat Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).
NFDP sebelum ini dipalit dengan beberapa isu termasuk soal gaji Lim Teong Kim dan kewangan yang tidak terurus.