Naib Presiden MUSA, Mohd Ashiq Abd Samad, berkata setakat Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) memberi gambaran bahawa hanya seorang awang import yang akan kekal bersama MU, manakala yang lain akan dilepaskan bagi saingan Liga Super musim 2019.
Kemungkinan pemain yang akan dikekalkan hanyalah Ifedayo Olusegun, manakala Yahor Zubovich (Belarus), Shahdan Sulaiman (Singapura), Steven Thicot (Perancis) dan Lee Chang Hoon (Korea Selatan) tidak akan disambung kontrak.
Penyerang kelahiran Nigeria dan bekas penyerang FELDA United ini masih diperlukan khidmatnya berdasarkan prestasinya yang baik sepanjang beberapa bulan bersama pasukan.
Tambah beliau, bekas pemain kelas Rising Stars FC (Nigeria) itu bakal mengisi tonggak utama penggempur pasukan untuk musim hadapan.
“Dia bakal digandingkan dengan import baharu serta pemain tempatan lain yang dikekalkan membarisi pasukan.
“Mengekalkan Ifedayo bukan bermakna import lain tidak cemerlang, malah mereka juga bertindak agresif untuk membantu kejayaan skuad Hang Tuah layak ke Piala Malaysia musim ini. Namun, kami mahu memberi nafas lebih segar dengan kehadiran awang import baharu,” katanya.
Selain daripada itu, MUSA sedang dalam perbincangan untuk mengekalkan E Elavarasan yang cemerlang membentuk skuad itu, selain menyenaraikan jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim untuk membimbing Melaka United (MU).
Ketika ini, nama Abu Bakar kini meniti di bibir peminat bola sepak Melaka selepas dikaitkan bakal mengendali skuad MU, musim depan.