Pengurus Malaysia B-16, Datuk S Sivasundram mengharapkan tiada lagi pemain yang akan mengutip kad merah dalam perlawanan akan datang, Kejohanan AFC B-16.
Ini berikutan dua pemain remaja negara iaitu Sikh Izhan dan Luqman Hakim yang mengasari pemain lawan dan telah dilayangkan kad merah oleh pengadil dalam perlawanan menentang Tajikistan dan Thailand.
Malaysia bermula dengan langkah kanan apabila berjaya menundukkan Tajikistan 6-2 pada aksi pertama Kumpulan A. Namun berdepan dengan negara jiran,Thailand jelas berjaya memanfaatkan peluang apabila Luqman Hakim dibuang padang dan Malaysia terpaksa bermain dengan 10 pemain.
Beliau tidak mahu menyalahkan para pemain namun menegaskan bahawa perkara tersebut mampu merencatkan percaturan mereka untuk mara ke peringkat kalah mati dalam saingan ini.
“Kita menewaskan Tajikistan 6-2 dan ia satu permulaan yang baik. Tapi semalam (berdepan Thailand) saya percaya salah satu yang memberi masalah kepada pemain Malaysia adalah kad merah.”
“Ia mempengaruhi moral pemain dan kita hanya beraksi dengan 10 pemain hingga perlawanan tamat. Saya harap tiada lagi kad merah (berdepan Jepun) dan kita pun ada memberi pesanan kepada pemain, mereka juga faham.”
“Kita tidak boleh menyalahkan pemain, mereka mungkin tak sengaja. Tapi itulah bola sepak, apa saja boleh berlaku,”
Malaysia kini menghuni tangga ketiga Kumpulan A dengan 3 mata yang terkumpul. Hanya kemenangan sahaja mencerahkan peluang untuk Malaysia mara ke saingan kalah mati.
Datuk S Sivasundram optimis akan kemampuan anak buah Lim Teong Kim dan menewaskan Jepun bukanlah satu perkara yang mustahil. Tambahan pula, semangat mereka kembali membara demi melangkah ke peringkat kalah mati.
“Kita sudah bertemu dengan pemain dan semangat mereka sangat tinggi. Sudah pasti kita nak kalahkan Jepun seterusnya layak dan semua pemain mahu lakukannya.”
“Saya percaya dan yakin kita boleh mempamerkan persembahan terbaik. Memang semua pemain dan pegawai pasukan sedih selepas tewas kepada Thailand, tapi motivasi mereka sudah kembali kepada tahap terbaik,” katanya.