Dengan kejohanan AFC B-16 bakal membuka tirainya pada hari esok, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin sempat meluangkan masa bersama-sama anak buah Lim Teong Kim untuk memberikan kata-kata semangat dan sokongan dalam satu majlis yang diadakan semalam.
Beliau menjelaskan kepada barisan pemain muda negara bahawa rakyat Malaysia khususnya peminat bola sepak tanah air amat dahagakan sebuah nafas baharu dalam sukan ini. Dan pastinya skuad ini akan menjadi satu penanda aras buat peminat bola sepak menentukan kedudukan bola sepak Malaysia.
Namun begitu, beliau optimis dengan kemampuan bekas jurulatih remaja Bayern Munich, Lim Teong Kim untuk memastikan perkara tersebut tidak menjadi tekanan buat barisan pemain muda negara yang akan beraksi dalam kejohanan ini.
“Peminat bola sepak sememangnya menginginkan pembaharuan dalam bola sepak yang bermula dari generasi baru ini maka pastinya akan ada tekanan di kalangan pemain.”
“Saya yakin jurulatih Lim Teong Kim punyai cara tersendiri untuk menangani tekanan ini.”
Pada masa yang sama, Datuk Hamidin Mohd Amin menasihati para pemain supaya tumpukan perhatian dan yakin akan kemampuan diri sendiri.
“Yang penting, pemain perlu kekal fokus dan tahap keyakinan perlu tinggi,” katanya.
Selain daripada untuk melihat bagaimana generasi baharu bola sepak ini beraksi, ketua jurulatih skuad B-16 negara juga menyasarkan untuk mara sehingga separuh akhir kejohanan AFC B-16 kali ini. Ini sekaligus akan memberikan slot automatik kepada skuad negara untuk bermain dalam saingan Piala Dunia B-17 pada tahun hadapan di Peru.
Untuk aksi pertama, Malaysia B-16 akan bertemu Tajikistan B-16 pada hari esok, di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk aksi Kumpulan A. Perlawanan tersebut akan bermula jam 4.30 petang.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Presiden FAM, Dato’ Sri Subahan Kamal dan Naib Presiden FAM yang juga pengurus skuad B-16 kebangsaan, Dato’ S. Sivasundaram.