Piala Malaysia Berita

MIFA kehilangan Kpah Sherman untuk aksi menentang JDT

Malaysian Indian Football Association (MIFA) terpaksa melupakan khidmat penyerang sensasi mereka, Kpah Sherman untuk perlawanan terakhir Kumpulan C menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi saingan Piala Malaysia 2018.

Bukan itu  sahaja, MIFA juga kehilangan 2 lagi tonggak kesebelasan utama, iaitu Elizeu Melo yang digantung satu perlawanan kerana mengumpul dua kad kuning dan P Rajesh yang mengalami kecederaan pangkal peha.

Penyerang import dari Liberia, Kpah Sherman pula digantung oleh tiga perlawanan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), kerana berkelakuan ganas dengan menerjah lutut pemain Kedah, Liridon Krasniqi 26 Ogos lalu di Stadium MBPJ.

Pengendali MIFA, K Devan terpaksa akur dengan situasi tersebut namun menegaskan beliau sudah mempunyai beberapa pelan untuk mengatasi masalah tersebut.

“Jawatankuasa Tatatertib sudah memutuskan keputusan pada hari ini dan kita terpaksa bermain tanpa dia (Sherman) serta dua lagi pemain lain.”

“Ini suatu keputusan yang mengejutkan dan berlaku pada saat-saat genting yang tidak menyebelahi kita. Saya akui kekuatan kita akan kurang tanpa pemain ini.”

“Namun, kita sudah ada pelan A dan B untuk menangani masalah ini. Kita akan gunakan pemain tempatan dengan sebaiknya dan sudah menukar serta mengubah formasi untuk menghadapi aksi ini,” katanya.

Ketika ini, MIFA memimpin Kumpulan C bersama-sama Kedah dengan 8 mata namun perbezaan gol sahaja yang memisahkan mereka. Dan untuk layak ke saingan suku akhir Piala Malaysia 2018, MIFA hanya memerlukan keputusan seri sahaja ketika bertemua JDT pada malam nanti.

Dan segala-galanya hanya akan ditentukan oleh anak buah beliau pada malam ini, K Devan menuntut pemain MIFA untuk tampil persembahan baik dan berdisiplin sepanjang 90 minit untuk mara ke saingan seterusnya.

“Nasib pasukan kini di tangan pemain. Jika kami dapat mengharungi 90 minit terakhir ini dengan baik dan penuh disiplin, saya yakin kita mampu untuk mara sekali gus melakar sejarah tersendiri dalam Piala Malaysia,” katanya.

Pada aksi pembukaan Kumpulan C lalu, MIFA berjaya mengejutkan Harimau Selatan dengan kemenangan 2-1 di Stadium Larkin.