Malaysia Berita

Shahrel Fikri jadi inspirasi kepada rakan sepasukan-Zaquan Adha

Shahrel Fikri mula dilihat sebagai inspirasi kepada para pemain lain dalam pasukan kebangsaan yang cukup menghargai kehadirannya selaku pemain import luar negara.

Ini termasuk Zaquan Adha yang pernah dilihat sebagai pelapis penyerang utama pasukan kebangsaan sebelum bergelut dengan masalah kecederaan serta prestasi selama bertahun-tahun.

Tempatnya kemudian diisi oleh Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali yang mempamerkan aksi memberangsangkan dan menjadi ikon buat penyokong bola sepak negara.

Kini, Zaquan kembali ke pasukan kebangsaan sebagai kapten tetapi posisi yang digemari beliau diambil alih oleh Shahrel Fikri.

Beliau bagaimanapun tidak kisah malah menganggap kehadiran Shahrel akan menghasilkan persaingan sihat antara penyerang sedia ada.

“Adalah bagus untuk sesuatu pasukan memiliki pilihan pemain yang ramai. Saya rasa setiap pemain ada kelebihan masing-masing, ini merupakan sesuatu yang positif dan persaingan sihat untuk pasukan.

“Shahrel ada kelebihannya sendiri dan begitu juga dengan pemain-pemain yang lain. Saya sangat berterima kasih kepada Shahrel kerana dengan pengalaman yang dia ada dalam Liga Thailand, dia dapat membawanya ke dalam skuad kebangsaan. Kita juga dapat mempelajari sesuatu daripada dia,” katanya.

Shahrel muncul wira Harimau Malaya apabila menjaringkan satu gol dan membantu menghasilkan dua lagi gol menewaskan Kemboja 3-1.

Tambah Zaquan, perlawanan persahabatan diharapkan dapat membantu pemain untuk mengenali satu sama lain dan mendapatkan keserasian sebagai persediaan untuk menghadapi Piala AFF, November ini.

“Saya berharap dalam dua perlawanan persahabatan yang kita hadapi ini, kita dapat belajar sesuatu yang positif. Harap kemenangan dengan Kemboja ini beri suntikan semangat untuk kita bawa ke dalam Piala AFF nanti,” katanya.