Malaysia Berita

Shahrel Fikri: “Selangor 2019” hanya gurauan sahaja

Penyerang pinjaman kelab Liga 1 Thai, Shahrel Fikri menjadi bualan penyokong bola sepak Malaysia ekoran kecemerlangan prestasinya membantu Harimau Malaya mencatatkan kemenangan 3-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa “A” baru-baru ini di Phnom Penh.

Beliau dimasukkan oleh Tan Cheng Hoe pada minit ke-59 menggantikan Nazmi Faiz Mansor berjaya menyumbang 1 gol dan 1 ‘assist’ kepada Syazwan Andik. Malah gol penyamaan Malaysia juga dicetuskan oleh Shahrel apabila tandukannya menyebabkan tampanan kurang kemas penjaga gol Kemboja sebelum ditendang masuk oleh Shahrul Saad.

Sejurus perlawanan tersebut, penyerang pinjaman Nakhon Ratchasima ada membalas satu komen di laman Instagram miliknya.

biasa je wi, Selangor 2019”

Hal tersebut telah menimbulkan spekulasi bahawa beliau akan menyarung jersi Red Giants bagi musim 2019 nanti. Ini dikuatkan lagi bahawa Nakhon Ratchasima hanya meminjamkan beliau sehingga bulan Disember sahaja.

Namun, beliau pantas membuat penafian berkenaan perkara tersebut. Dia menjelaskan bahawa perkara tersebut hanyalah gurauan bersama bekas rakan sepasukannya di Harimau Muda B suatu masa dahulu.

“Saya cuma bergurau dengan rakan sepasukan lama saya dalam Harimau Muda B, bukan betul pun,” katanya.

Pada masa yang sama, Shahrel Fikri sempat merakamkan ucapan terima kasih kepada pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe kerana memberikan beliau peluang untuk beraksi untuk skuad kebangsaan. Dan Shahrel juga menyerahkan kepada ketua jurulatih samada ingin meletakkannya dalam kesebelasan utama atau tidak bagi saingan Piala AFF, November kelak.

“Saya harus berterima kasih kepada jurulatih Cheng Hoe kerana beri peluang beraksi pada pertandingan kompetitif. Saya gembira dengan sumbangan itu. Untuk saingan Piala AFF nanti, terpulang kepada beliau untuk letak saya di bangku simpanan atau dalam kesebelasan utama, saya ikut sahaja,” katanya.

Saingan Piala AFF 2018 akan bermula pada 8 November dan Malaysia telah diundi dalam Kumpulan A bersama-sama Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam.

Selain daripada aksi persahabatan menentang Taiwan dan Kemboja, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengatur tiga lagi perlawanan persahabatan antarabangsa sebagai persiapan untuk menghadapi temasya dwi-tahunan ASEAN itu.

Perlawanan tersebut adalah menentang Sri Lanka di Colombo pada 12 Oktober serta menentang Kyrgyzstan dan Maldives pada 16 Oktober dan 3 November 2018. Perlawanan menentang Kyrgyzstan akan diadakan di Stadium Hang Jebat, Melaka manakala perlawanan menentang Maldives akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil.