Tan Cheng Hoe selaku jurulatih baharu untuk pasukan kebangsaan perlu bahawa sedar bahawa beliau tidak mempunyai pilihan selain menunjukkan prestasi terbaik di Piala AFF Suzuki 2018 yang bermula November depan.
Beliau mempunyai tanggungjawab yang besar untuk memulihkan kembali maruah pasukan kebangsaan selepas Dollah Salleh, Ong Kim Swee dan Nelo Vingada gagal menyambung legasi yang ditinggalkan Datuk K. Rajagobal.
Bagaimanapun, bekas jurulatih Kedah itu kekal fokus dalam mempersiapkan pasukannya bagi memastikan pasukan kebangsaan di bawah kendaliannya menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada sebelum ini dan beliau lebih bersemangat selepas melihat prestasi pasukan B-23 dan B-19.
“Sebagai jurulatih skuad kebangsaan, itu sebagai motivasi untuk saya kerana selepas pencapaian terbaik skuad bawah 23 tahun, itu petanda positif untuk bola sepak Malaysia.
“Saya harap pemain senior dapat menyahut cabaran di mana kejayaan pemain muda adalah sebagai satu motivasi, saya rasa semua pemain mahu buat sesuatu untuk skuad negara,” katanya kepada Berita Harian.
Cheng Hoe menandatangani kontrak dua tahun pada April 2017 sebagai penolong jurulatih pasukan kebangsaan sebelum dilantik sebagai ketua jurulatih bagi menggantikan Nelo Vingada yang meletakkan jawatan pada Disember tahun lalu.
Di bawah bimbingan Cheng Hoe, pasukannya setakat ini mencatatkan keputusan seri 2-2 dengan Mongolia, menang 7-0 ke atas Bhutan serta 1-0 mengatasi Fiji selain tewas tipis 2-1 kepada Lebanon pada perlawanan terakhir bagi pusingan kelayakan Piala Asia 2019.
Beliau sudah pun berlepas bersama 22 pemainnya ke Taipei City bagi perlawanan persahabatan melawan Taiwan, Jumaat ini sebelum terbang ke Phnom Penh untuk menentang Kemboja pada Isnin depan.
Tambah Cheng Hoe, skuad kebangsaan perlu mengekalkan momentum kemenangan dan pada masa yang sama menunjukkan prestasi dan keserasian pemain dalam perlawanan itu nanti.
“Saya mengharapkan persembahan terbaik daripada pemain yang akan diturunkan nanti, saya percaya pemain mahu melakukan sesuatu,” katanya.
Edisi Piala AFF Suzuki kali ini menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Kemboja, Laos, Vietnam dan Myanmar.