Pengendali Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee menyambut baik hasrat anak buahnya yang ingin ke Jepun atau Thailand bagi mengembangkan lagi kerjayanya sebagai pemain bola sepak.
Bagaimanapun, pengendali berasal dari Melaka tersebut memberikan beberapa peringatan dan pesanan kepada bintang sensasi Kedah tersebut supaya memilih kelab dengan sebaik-baiknya selain daripada memastikan tempat dalam kesebelasan utama.
Akhyar perlu memastikan kelab tersebut bermain dalam divisyen mana? Adakah kelab tersebut bermain dalam divisyen pertama, kedua atau ketiga? Termasuk juga kelab dari Thailand, adakah mereka bermain dalam divisyen utama atau divisyen kedua? Selain itu, apakah perancangan kelab tersebut terhadap beliau
“Pertama kita kena tahu kelab dari Jepun merupakan kelab daripada mana adakah J1, J2 atau J3. Begitu juga dengan liga Thailand, adakah tawaran itu nanti datangnya dari liga utama atau divisyen dua.”
“Namun perkara kedua paling mustahak untuk mengetahui apakah perancangan kelab terbabit buat Akhyar adalah dia akan berada dalam kesebelasan utama atau di bangku simpanan.”
“Untuk umur Akhyar 19 tahun dia perlukan banyak perlawanan-perlawanan kompetatif, tak guna kita pergi dengan wang ringgit yang banyak tetapi tidak mempunyai tempat dalam pasukan.”
“Jadi dia perlu berfikir secara mendalam dan jika ada ejen pastikan ejen berbincang dengan pihak kelab apa tujuan mereka untuk memilih kelab itu,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Operasi Marquee Management Sdn Bhd mengesahkan bahawa bintang Harimau Muda, Akhyar Rashid melantik mereka sebagai ejen sah untuk mencari kelab diluar negara terutamanya kelab Jepun dan Thailand.
Dan mereka sedang mengenalpasti beberapa kelab yang menginginkan khidmat pemain Kedah tersebut yang beraksi di posisi sayap dan penyerang. Walaupun masih mempunyai kontrak bersama Kedah, mereka menjelaskan Akhyar boleh dipinjamkan ke kelab luar dengan persetujuan Kedah FA seumpama pemain PKNP FC, Shahrel Fikri.
Datuk Ong Kim Swee turut melahirkan keyakinan bahawa Akhyar Rashid mampu menampilkan aksi yang lebih baik andai diberikan masa dan mendapat bimbingan yang betul daripada kelab professional.
“Dia perlukan masa dan jika mendapat bimbingan yang betul daripada kelab profesional, saya yakin Akhyar akan pergi lebih jauh daripada itu,” kata Kim Swee.